Archive for April, 2009
Kelas Poco-Poco Di Pasir Gudang
Salam ceria pembaca blog CikguAzleen.Com,
Ini berita baik buat anda yang tinggal di Pasir Gudang, mahupun Johor Bahru ataupun kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Kalau anda adalah antara ribuan orang yang kerap mengemel saya secara personal mahupun menghantar komen di blog ini bertanyakan kelas poco-poco dan zapin.. Ini adalah peluang untuk anda..
Kelas Poco-Poco
Setiap hari Ahad, 8.30 malam
Tempatnya di SK Pasir Gudang 2
Buat permulaan ni, kami belajar poco-poco saja dulu. Selepas itu nanti akan di ikuti dengan zapin juga. Kelas baru bermula 2 minggu, jadi belum terlambat untuk anda sertai. Bayarannya pun sangat murah. Buat masa ni mereka hanya kutip RM2 seorang setiap minggu.
Oh ya, saya cuma peserta jer dalam program ni. Tenaga pengajarnya jiran saya yang memang ahli keluarganya semuanya penari dan ada team tarian sendiri.
Jadi, kalau anda berminat, terus saja datang ke tempat yang disebutkan pada hari dan masa yang dinyatakan.
Jumpa anda nanti!
Saya Banyak Kerja, Dia Takde Kerja…
Salam ceria,
Pendek kata, selagi belum tutup mata, kerja, kerja, kerja..
Saya tak ingat siapa dan dalam filem apa dialog tersebut. Yang pastinya dialog ini memang cukup popular. Rasanya dalam filem P Ramlee kot..
Tak kisahlah siapa yang cakap dialog tersebut. Yang pentingnya saya nak bincangkan hari ini adalah tentang beban kerja.
Saya pelik bila ada orang yang kata, “Kerja aku ni sangat banyak.. Tapi si polan tuh takde kerja.”
Adakah kerana kita lihat si polan tuh sentiasa tersenyum ke sana ke mari, tak mengepit buku di celah ketiak, tidak berjalan terlari-lari, maka kita katakan si polan tuh takde kerja?
Si Polan tuh mungkin memang seorang yang periang, sebab tuh dia sentiasa senyum dan ceria saja. Dia juga mungkin seorang yang merancang dan sentiasa buat kerja di tempat yang sesuai, sebab tuh tak perlu nak kepit buku di celah ketiak ke sana ke mari. Si polan tuh juga mungkin seorang yang menikmati kehidupannya, sebab tuh dia jalan relek-relek aje..
Tapi siapa kita ni yang suka-suka hati nak cakap orang lain takde kerja hanya kerana dia tidak bersikap macam kita?
Setiap individu ada caranya tersendiri nak menangani stress dan bebanan kerja. Sementara kebanyakan orang suka menunjukkan kepada orang lain yang dia telah melakukan banyak perkara berbanding orang lain, ada juga orang yang memang telah melakukan banyak perkara tapi tak perlu nak beritahu orang lain.
Bagi saya, tak kiralah anda seorang pengurus, pegawai kanan, pegawai kiri, supervisor, kerani, tukang sapu.. Setiap orang telah diberikan peranannya yang tersendiri dan mengalami tahap kesibukan yang sama rata.
Dan sama sekali tidak wajar untuk kita katakan yang orang lain takde kerja berbanding kita yang ada terlalu banyakkkkk kerja..
P.S.: Mungkin kita tak reti menguruskan masa dan kerja, sebab tuh kita jadi terlalu sibuk..
P.P.S.: Atau mungkin sebenarnya kita ni buat-buat sibuk?
Siapa Nak Ajar Kita?
Salam ceria para pembaca,
Hari ni saya cuma nak berkongsi telatah pelik murid kelas saya. Kadang-kadang kelakuan mereka lebih pelik dari Hagemaru. Hahahaha..
Sebenarnya dah masuk kali ni dah kali kedua murid-murid ini bertanya pada saya. Tahu apa soalan mereka?
“Kalau cikgu beranak, siapa nak ajar kitorang?”
Hakikatnya saya tidaklah disahkan mengandung tetapi agaknya murid-murid ni ingatkan saya mengandung (Kalaulah masin doa anak-anak didik saya ni). Dan mereka begitu risau jika saya bercuti tiada siapa nak menggantikan kelas saya. Sememangnya kalau saya bercuti, tiada guru akan menggantikan kelas saya, sebaliknya murid-murid akan belajar seperti biasa di kelas mereka.
Dan memangnya murid yang nakal-nakal ni dapat guru yang sama nakal – suka sakat mereka. Jadi saya pun beri jawapan…
“Kalau cikgu cuti, cikgu tutttttttttt akan ganti”..
Saya memang tahu dah yang murid-murid ni sangat takut dengan cikgu tutttttttt itu.. Mereka sering mengadu perkara-perkara yang dilakukan oleh cikgu tuttttt itu. Saya selalunya dengar ala masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja.. Sebab maklumlah cikgu tutttttt itu rakan sekerja juga..
Dan pelbagai reaksi saya dapat dari murid-murid yang sibuk bertanya itu.. Ada yang kata,
“Alaaaaaaaaaaaa.. tak mahulah!”
Ada juga yang kata,
“Kalau cikgu cuti, cikgu tutttttttt ajar, kite pun nak cuti jugakkkk.. Tak nak datang sekolah..”
Memang kadar ponteng sekolah agak tinggi sewaktu cikgu tutttt tu mengajar. Murid sangat takut dengan beliau.. Tapi yang bagusnya, murid-murid diaaaammm saje kalau cikgu tutttt tuh lalu kat koridor.. Apatah lagi kalau cikgu tutttt tuh dalam kelas..
Saya hanya tersenyum saja lihat karenah anak-anak murid ni.. Sedangkan saya bercuti 3 hari untuk konvo kelmarin pun bukan main bising lagi mereka.. Nampak saja muka saya di sekolah terus berlari dan menyatakan kerinduan mereka tak jumpa saya..
Tuh baru 3 hari.. Kalau cuti bersalin 2 bulan, macamana agaknya ya?!
Kejujuran dan Keikhlasan Guru Zaman Sekarang…
Salam ceria para pembaca yang budiman,
Baru-baru ini, saya menerima satu emel dari seseorang yang tidak saya kenali. Beliau enggan menyertai Program Easy English yang saya anjurkan di KelasEnglish.Com tetapi beliau mahukan saya memberikan komen penulisan beliau. Di hujung emel yang cuma sepanjang 5 ayat itu, beliau menyatakan bahawa jika saya seorang guru yang ikhlas dan jujur mengajar bukan kerana wang, sudah tentu saya bersedia memberikan komen penulisan beliau.
Emel tersebut membuatkan saya berfikir tentang topik kejujuran dan keikhlasan guru. Kejujuran dan keikhlasan bukanlah satu ciri-ciri atau tingkahlaku mahupun benda yang boleh kita nilaikan dari mata kasar. Malahan, pada pendapat saya kita sebagai manusia biasa tidak layakpun untuk menentukan samada seseorang itu jujur atau ikhlas. Kejujuran dan keikhlasan seseorang melaksanakan sesuatu tugas, tidak kira anda seorang guru atau pun tidak, hanya boleh ditentukan oleh Allah S.W.T.
Adakah kerana seseorang guru itu menerima bayaran untuk tugasan mengajarnya menyebabkan guru tersebut tidak jujur dan tidak ikhlas?
Kalau begitulah keadaannya, minta maaf saya terpaksa cakap bahawa semua guru di dunia ini bukanlah guru yang ikhlas dan jujur kerana semua guru di dunia terutamanya di Malaysia dibayar gaji oleh kerajaan untuk mengajar di sekolah. Itu kalau sekolah kerajaan. Apatah lagi guru sekolah swasta dan guru tuisyen yang nyatanya kadar bayarannya adalah lebih tinggi berbanding guru kerajaan.
Jadi, di mana dan bagaimana dengan kejujuran dan keikhlasan guru?
Hakikatnya, guru juga seorang manusia biasa seperti anda dan jiran anda. Hehehe.. Seorang guru juga ada bil yang perlu dijelaskan, ada anak isteri (atau suami) dan tanggungan yang perlu disediakan makan minum, pakai dan tempat tinggal. Lebih hebat lagi, seorang guru juga perlu mengeluarkan sejumlah wang poket sendiri untuk memastikan dirinya sentiasa up-to-date dengan ilmu dan teknologi yang terkini, tidak kiralah samada untuk membeli buku dan bahan rujukan atau mempunyai talian internet di rumah.
Tambahan pula, anak-anak zaman sekarang lebih meluas pemikirannya. Mereka sudah pandai menentukan samada seseorang guru itu cantik, kemas ataupun selekeh dan lebih kurang saja penampilannya. Bukan murah kosnya untuk memastikan kita sentiasa tampil kemas dan menarik di hadapan mata murid-murid. Guru yang kemas dan menarik akan dapat memastikan perhatian murid-murid sentiasa berpusat padanya sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran.
Jadi, masih relevankah jika guru zaman sekarang hanya dihadiahkan pisang, durian, ubi kayu ataupun kain pasang sebagai tanda terima kasih kerana mengajar anak-anak?
Pembaca yang saya hormati,
Pepatah inggeris ada menyebut, “If you pay nuts, you get monkeys”. Atau dalam bahasa yang lebih mudah, ‘you get back what you give’. Apa yang anda beri (atau bayar) itulah yang anda dapat. Jika pisang yang anda bayar kepada guru yang mengajar anak-anak anda, maka menjadi monyetlah anak-anak anda itu. Hehehe.. Bukan gurunya yang menjadi monyet!
Begitulah keadaan dunia zaman sekarang. Masakan sama dengan 20, 30 tahun yang lampau. Bahkan langsung tak sama dengan 10 tahun yang lepas.
Bagaimanapun pada pendapat saya, masih ada ruang untuk guru zaman sekarang memiliki kejujuran dan keikhlasan mengajar walaupun menerima bayaran. Guru perlu memberikan lebih sedikit daripada apa yang perlu diajar. Jika janjinya mengajar murid-murid mengira, guru boleh memupuk tingkahlaku yang baik pada murid-murid yang diajar. Ataupun menunjukkan pada murid bagaimana mereka boleh belajar sendiri di rumah. Itukan nilai tambah, tidak termasuk pun dalam perjanjian mengajar dan bayaran.
Hai, entahlah.. Itu pendapat saya saja. Mungkin anda ada pendapat yang berbeza. Berikan komen anda di blog ini untuk kita sama-sama bincangkan tentang kejujuran dan keikhlasan guru zaman sekarang.

