Peranan Ibu Bapa Dalam Membantu Perkembangan Anak

Apabila saya tulis artikel mengenai Kenapa Kanak-kanak Sekarang Sukar Dikawal Kelakuannya, saya menerima banyak maklumbalas daripada ibu bapa. Ada yang memberi komen dan ada juga yang menghantar melalui emel kerana ada cerita-cerita peribadi yang ingin disampaikan.

Kebanyakan ibu bapa yang menghubungi saya memberitahu bahawa anak mereka mempunyai masalah tertentu terutamanya dalam bidang akademik. Selalunya dikaitkan dengan ketidakinginan anak untuk belajar serta kesukaran ibu bapa untuk memaksa anak belajar.

Pertama sekali, saya rasa anak-anak ini sungguh bertuah kerana mempunyai ibu bapa yang mengambil berat serta sanggup mencari jalan penyelesaian untuk membantu anak-anak berjaya.

Ibu Bapa Sentiasa Mengharapkan Yang Terbaik Untuk Anak

Mengapa saya kata bertuah?

Walaupun umumnya kita ketahui bahawa semua ibu bapa mengharapkan yang terbaik untuk (atau daripada?) anak mereka, saya telah menyaksikan banyak kejadian yang menunjukkan ramai ibu bapa tidak tahu bagaimana atau sekurang-kurangnya dimana mereka boleh mendapatkan informasi untuk memberikan yang terbaik kepada anak mereka.

Dan saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada ibu bapa yang menyedari anak mereka bermasalah dan bersedia untuk melakukan apa saja bagi mengatasi masalah anak mereka.

Kanak-kanak Berkembang Secara Automatik?

Kebanyakan daripada kita menganggap bahawa perkembangan kanak-kanak berlaku secara automatik berdasarkan umur mereka.

Contohnya, kita menganggap apabila seorang kanak-kanak melakukan sesuatu kelakuan yang tidak sepatutnya dilakukan, kanak-kanak tersebut akan menjadi dewasa suatu hari nanti dan secara automatik mengetahui bahawa kelakuan yang dilakukan tadi adalah tidak betul.

Hakikatnya kanak-kanak belajar melalui apa yang dialaminya.

Bagi saya, ayat ini sangat berkuasa: Kanak-kanak belajar melalui apa yang dialaminya.

Kata kuncinya adalah apa yang dialaminya…

Apa Yang Dialami Oleh Afiah?

Saya ada cerita untuk anda.. Cerita ini adalah mengenai bayi saya sendiri, Afiah.

Pada ketika artikel ini ditulis, Afiah baru berusia 31 hari. Orang kata, masih lagi dalam pantang.

Tetapi, pada usia 31 hari, Afiah telah menunjukkan perkembangan yang sangat menakjubkan..

Ohhh.. Ya, mungkin juga anda boleh beranggapan saya sudah tentu menganggap apa juga yang Afiah lakukan adalah menakjubkan, sudah tentu bayi saya kan..

Terpulang kepada anda, apa yang saya percaya adalah setiap bayi (bukan bayi saya sahaja, juga bayi anda, jiran anda, kakak anda, dan semua bayi-bayi dalam dunia ini tanpa mengambil kira jantina, bangsa atau agamanya..) dilahirkan dengan kebolehan yang menakjubkan.

Dalam erti kata lain, setiap bayi adalah genius. Dan kegeniusan ini boleh dicungkil dengan lebih cepat lagi dengan memberi ransangan dan menyediakan persekitaran yang betul.

Berbalik kepada Afiah, pada usia 31 hari, Afiah boleh tersenyum, ketawa, mengangkat kepalanya, bergerak dari titik A ke titik B dengan cara crawling (maaf, saya tidak tahu perkataan yang betul untuk ini, crawling adalah bergerak tanpa mengangkat badan, bukan merangkak, mungkin merayap), mengenali muka dan bau mummy dan abahnya, mengenali namanya, tangan sudah mula mencapai barang serta kakinya mula menunjukkan kekuatan untuk berdiri/ bergerak.

Yang lebih menarik adalah Afiah boleh memahami apa saja yang diberitahu kepadanya dan boleh bergurau semula dengan kita. Contohnya, sekiranya saya perlu melakukan sesuatu yang penting (seperti pergi toilet) sewaktu sedang menguruskan beliau (menyusukan), saya hanya perlu memberitahunya yang saya perlu pergi dengan segera dan akan kembali dalam masa 3 minit, dan beliau akan melepaskan puting susu saya. Tapi awas, pastikan saya balik dalam masa yang dijanjikan, kerana beliau pasti akan menuntutnya selepas 3 minit.

Dan kenapa saya kata perkembangan Afiah ini menakjubkan?

Perkembangan Kanak-kanak Boleh Dipercepatkan

Anda boleh rujuk pada carta perkembangan kanak-kanak di laman web BabyCenter, dan lihat sendiri bahawa kebanyakan perkara yang dilakukan oleh Afiah ini sepatutnya belum boleh dilakukan oleh bayi berusia 31 hari.

Dan adakah ini berlaku kerana mummy dan abah Afiah juga seorang genius? Hehehe..

Tidak semestinya.. Memang ya, saya kira IQ saya dan suami boleh tahan tingginya, tapi kami bukanlah genius yang bijak pandai seantero dunia.. Sedikit lebih dari kebanyakan manusia, tetapi tidaklah sehingga menjadi yang terbaik antara yang terbaik.. huhu..

Kajian menunjukkan bahawa hanya 50% IQ diwarisi secara genetik. Selebihnya bergantung kepada ransangan yang diterima dan juga persekitaran hidupnya. IQ juga boleh meningkat dan menurun pada bila-bila masa, juga bergantung kepada ransangan yang diterima dan persekitaran hidupnya.

Bagi kebanyakan bayi, crawling hanya berlaku pada usia 6 bulan (rujuk carta perkembangan kanak-kanak).. Tetapi Afiah berjaya melakukannya dalam masa tidak sampai 1 bulan..

Adakah anda beranggapan bahawa saya memaksanya untuk membuat latihan crawling setiap hari seperti menarik tangannya supaya bergerak, melatih kakinya supaya menolak badannya ke depan?

Bagaimana Memaksa Bayi Belajar?

Argghhh.. Perkara paling tidak masuk akal yang boleh seseorang dewasa lakukan adalah memaksa bayi berusia kurang dari sebulan melakukan perkara yang tidak disukainya..

Dalam hal ini, saya hanya menyediakan ransangan dan persekitaran yang betul bagi membantu Afiah mencapai kebolehannya secara maksima.

Saya akan kongsikan perihal ransangan dan persekitaran ini dalam artikel yang lain.

Jadinya, berbalik kepada topik bagaimana anda sebagai ibu bapa boleh membantu perkembangan anak anda.. samalah juga seperti apa yang saya lakukan kepada Afiah, anda hanya perlu menyediakan ransangan dan persekitaran yang betul bagi memberi anak anda peluang mencapai potensi sebenarnya..

Anda sama sekali tidak berhak dan tidak akan mampu untuk memaksa anak anda melakukan perkara yang tidak diingininya tidak kira berapapun umur anak anda, masih bayi seperti Afiah, 6 tahun, 12 tahun atau sudah mencapai 18 tahun..

Ramai ibu bapa yang memberitahu bahawa anak mereka tidak mahu belajar.

Kenapa Anak Tidak Mahu Belajar?

Hakikatnya anak tidak mahu belajar kerana 2 perkara utama, yang pertama mereka gagal untuk memahami mengapa belajar itu penting dan yang keduanya mereka berjaya memahami bahawa belajar itu tidak menyeronokkan.

Siapa yang ingin melakukan perkara yang tidak menyeronokkan? Anda pun tentu tidak mahu kan?

Jadinya, sebagai ibu bapa kita bertanggungjawab untuk menyediakan ransangan dan persekitaran bagi memberi mesej kepada anak bahawa belajar itu penting dan menyeronokkan.

Sediakan Ransangan & Persekitaran Yang Betul

Secara spesifik, berikut adalah sebahagian cadangan saya bagaimana ibu bapa boleh menyediakan ransangan dan persekitaran yang betul bagi membantu perkembangan anak:

1. Sediakan ruang untuk belajar yang khas, menggunakan meja dan kerusi, lekatkan poster atau perhiasan yang menarik. Sekiranya saiz rumah kecil dan tidak mampu menyediakan ruang belajar, meja makan boleh digunakan tetapi meja hendaklah disediakan untuk keadaan belajar pada waktu belajar.

2. Sediakan waktu belajar yang rutin. Pastikan tiada gangguan pada waktu belajar. TV dan permainan komputer dipadamkan.

Seharusnya, pelaksanaan 2 perkara ini dimulakan dengan diri anda sendiri sebagai ibu bapa. Jangan paksa anak untuk melakukannya terlebih dahulu.

Sebagai contoh, jika anda menetapkan 8.30 malam hingga 9.30 malam adalah waktu belajar, anda dan pasangan juga sepatutnya berada di ruang belajar dan melaksanakan aktiviti pembelajaran yang bersesuaian pada waktu tersebut.

Buat peraturan bahawa pada waktu tersebut, semua ahli keluarga mesti berada di ruang belajar. Sekiranya anak tidak mahu membuat aktiviti berkaitan sekolah, mereka boleh membaca buku cerita, komik, melukis dan sebagainya. Tetapi tegaskan bahawa tidak dibenarkan menonton tv, mendengar radio, bermain permainan komputer/ PSP/ PS2 dan sebagainya, serta melayari internet kecuali mencari maklumat berkaitan hal pelajaran.

Anda dan pasangan boleh melaksanakan hal-hal berkaitan pejabat atau menambah nilai ilmu anda pada waktu belajar tersebut. Baca buku misalnya..

Tetapi sentiasa bersedia untuk meluangkan masa pada anak jika anak ingin bertanya sesuatu atau meminta tunjuk ajar.

Saya yakin sekiranya anda melaksanakan perkara ini dengan konsisten, lama-kelamaan anak akan mengikut kelakuan anda belajar kerana kanak-kanak belajar melalui apa yang dialaminya..

Selamat berjaya!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
2 comments
marzeana
marzeana

maaf..setahu sy crawling tu merangkak..

Nor Azleen Abd Rahim
Nor Azleen Abd Rahim

Setahu saya pun begitu juga.. Bagaimanapun, mengikut kamus, crawling dan creeping mempunyai maksud yang sama, iaitu bergerak dari poin A ke poin B tanpa mengangkat badan daripada permukaan.. Mengikut tahap perkembangan bayi pula, bayi akan crawling dahulu sebelum creeping dan berdasarkan ilustrasi yang diletakkan, crawling tidak mengangkat dada dari permukaan, manakala creeping dengan mengangkat dada dari permukaan..

Powered by WordPress. Designed by Woo Themes