Mummy Anak 3

Bersyukur Sentiasa

Pagi ini saya bangun kerana tidak selesa dihimpit dari kiri dan kanan. Kaki Azmina terselit dibawah pinggang saya.

Bukan kali pertama, memang hampir setiap hari begitulah. Tidak kira samada Afiah atau Azmina, jika tidur di sebelah saya pasti menghimpit walaupun ruang di sebelah sana masih lagi luas.

Agaknya memang begitu anak yang co-sleeping dengan ibu ya?

Kaki terselit itu bukan kerana saya tertindih, tetapi kerana mereka dengan sengajanya akan memasukkan kaki dibawah badan saya. Mungkin kerana sejuk (walhal pakai selimut) atau mungkin kerana rasa lebih selamat.

Dulu masa mula-mula melahirkan Afiah, kakak saya beri baby-cot. Jadi tidurkan Afiah di baby-cot. Tapi tidak pernah berjaya. Paling lama tidurnya satu jam kemudian sudah mula resah berbunyi itu dan ini.

Selalunya Abah tidur berdiri atau tidur duduk di kerusi menggosok Afiah. Akhirnya saya ambil saja tidur di sebelah saya. Lebih lena tidurnya. Tetapi saya pula yang hilang lena tidur.

Begitulah bila co-sleeping dengan bayi. Sudah enam tahun, saya lupa bila kali terakhir tidur lena 8 jam sepanjang malam. Barangkali sebelum mengandungkan Afiah agaknya.

Co-sleeping sebenarnya memberi banyak manfaat kepada bayi. Terdapat kajian yang mengatakan otak bayi membesar dan berhubung dengan lebih baik. Ritma jantung bayi juga lebih stabil dan tenang. Wallahuallam.

Tetapi ianya juga berisiko tinggi seperti bayi tertindih dengan bantal, selimut bahkan oleh ibu bapa sendiri.

Kerana risiko-risiko itulah tidur saya tidak lena. Sekejap-sekejap bangun cek pernafasan bayi. Hihi.

Siapa lagi ibu yang juga sejam sekali cek pernafasan bayi macam saya?

Bagaimanapun, bersyukur kerana enam tahun ini juga dalam pada tidur yang tidak lena ini, saya dikurniakan tiga anak. Yang comel-comel, yang cantik-cantik dan yang cerdik-cerdik. Alhamdulillah.

Sebenarnya dalam kehidupan ini, jika kita mahu mencari perkara yang buruk dan tidak kena dalam hidup kita memang mudah sahaja jumpa.

Duit tidak ada. Gaji sikit. Jawatan rendah. Jadi kuli. Rumah kecil. Suami tidak kaya. Sudah lama tidak bercuti. Tidak pernah pergi luar negara. Kereta sudah lama. Anak belum ada. Sudah berusia belum berumahtangga.

Aduh, kalau mahu komplen sahaja sudah berjela-jela senarainya.

Sebaliknya, jika kita mencari perkara yang baik-baik dan patut disyukuri dalam hidup kita, juga pasti jumpa banyak.

Jiran-jiran suka beri makanan. Boleh pulang awal kerja. Tidak perlu bekerja hujung minggu. Suami menolong basuh baju, sidai baju, lipat baju, simpan baju. Rakan sekerja sentiasa bertanya khabar. Ada anak-anak yang ceria. Ada suami tempat mengadu segala.

Dan macam-macam lagi.

Cuma terpulang kepada kita mahu lihat ke arah mana.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Leave a Reply