Personal Development

Apa Bezanya Selepas Berhenti Kerja?

Semalam, selepas tamat Pertandingan Tarian tu, kami lepak-lepak belanja anak-anak Az-Zaffan makan KFC.

Sambil tu seorang rakan bertanyakan bagaimana kehidupan saya selepas berhenti kerja. Apakah perubahan dan perbezaan dengan semasa bekerja?

Saya terdiam sebentar sebelum memberi jawapan yang saya gembira dan tidak menyesal dengan keputusan diambil. Tetapi kalau cerita tentang perbezaan dan perubahan memang ada jurang yang besar.

Dulu walau anak tiga sempat juga saya menonton rancangan kegemaran saya di televisyen seperti CSI, rancangan lawyer tu apa ya namanya dan macam-macam lagi dalam sehari. Pasti ada masa walau pendek untuk saya duduk menonton.

Sekarang, anak masih tiga tetapi sangat susah saya nak mencari peluang menonton televisyen. Saya pun macam hairan kenapa jadi begitu. Saya tak punya masa untuk duduk sahaja.

Itu perbezaan besar bagi orang yang suka menonton televisyen seperti saya.

Perbezaan lagi besar adalah apabila saya mula mengambil pekerja dan menjadi majikan. Kena pastikan juga hak dan kebajikan pekerja terjaga.

Lepas saya berhenti hari tu juga ada saya sembang-sembang dengan guru besar. Bila saya ceritakan rutin harian, mingguan dan bulanan saya, ustaz kata, “Eh, macam lagi sibuk ya. Kata nak berhenti jaga anak, nanti tak dapat juga nak jaga anak.”

Ya, memang rutinnya lagi sibuk tapi saya ada kebebasan untuk menyusun jadual saya sendiri, juga untuk membawa anak bersama saya ke mana saya pergi apabila perlu.

Kan beza besar itu?

Bekerja dengan berpaksikan Allah SWT sebagai pemberi rezeki membolehkan kita melakukan perkara yang benar tanpa perlu tunduk kepada arahan-arahan yang tidak berapa benar.

Sukar sebenarnya bekerja makan gaji berbanding berniaga.

Namanya pun makan gaji, orang makan nasi.

Sudahlah, saya ada sedikit masa mahu melipat baju sambil menonton televisyen sebelum anak-anak bangun mahukan sesuatu.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Leave a Reply