Suka Makan

Aroithai Tunamaya Spa & Resort Desaru

Hari itu suami ada “away day” dengan koperasinya di Bandar Penawar. Saya dan anak-anakpun mengikutlah sama ke Amansari Hotel di Bandar Penawar itu.

Selesai suami ber”away day” sebelum pulang ke Pasir Gudang, saya ajak suami mencuba Aroithai di Tunamaya Spa & Resort Desaru.

Selalu dengar adik sahaja beriya-iya mempromosikan tempat makan ini. Katanya best, best, best. Jadi nak rasa juga apa yang bestnya.

Depan restorannya ada sebuah bas mini lama yang diubahsuai menjadi papan tanda restoran. Cantik dan boleh ambil-ambil gambar gitu.

Di bahagian hadapan restoran ada ruangan beranda yang luas, di bawah pohon-pohon kayu yang rimbun. Ada meja-meja makan di sini. Ramai orang memilih untuk makan di luar ini kerana boleh merasai suasana damai macam kat kampung sambil ditiup angin-angin laut sepoi-sepoi bahasa.

Tapi memandangkan saya datang dengan anak kecil dan jam sudah menghampiri 6 petang, kami memilih untuk makan di dalam restoran. Ada aircond sepoi-sepoi bahasa juga. Hihi.

Pilihan makanan di sini ringkas sahaja, tidaklah sampai rasa pening nak memilih. Boleh rujuk gambar menu. Bagi setiap jenis makanan ada 5-6 pilihan sahaja.

Cara membuat pesanan adalah self-service. Tulis atas kertas berapa banyak yang kita nak, kemudian panggil pelayannya datang ambil pesanan.

Setiap makanan diisi dalam mangkuk-mangkuk kecil yang berharga cuma RM1.90 sahaja. Pilihan minuman juga dalam cawan-cawan kecil tetapi berharga RM3.90 setiap satu.

Saya pilih beberapa jenis makanan yang saya jangkakan kami akan suka dan kongsi sahaja makan satu keluarga.

Kebanyakan makanan thai adalah pedas-pedas, jadi kalau anak yang tidak makan pedas itu kurang sesuai makan di sini.

Kepak ayam goreng thai menjadi kesukaan saya manakala suami dan anak-anak suka makan beef glass noodle soup. Inilah dua makanan yang kami tambah pesan.

Ada juga nasi telur dadar stail thai. Yang ini pun sedap juga. Nasi putih, sedikit telur dadar dan dituangkan sos thai yang manis-manis pedas tu. Senang sahaja boleh cuba buat di rumah. Hihi.

Untuk minuman kami mencuba jus kelapa, jus buah markisa dan jus serai. Semuanya sedap-sedap belaka.

Kasihan Isyraq kerana tiada pilihan makanan untuknya. Jadi kami pun tidak duduk lama-lama di sini.

Rancangan televisyen menayangkan filem-filem Thai dan radio juga memainkan lagu-lagu Thai.

Pekerjanya pula bukan orang tempatan tetapi bukan orang Thai. Kurang faham cakap Inggeris apatah lagi bahasa Melayu. Bengang juga apabila lain yang diminta lain yang sampai. Dan juga kena mengulang cakap beberapa kali.

Gaya makan di sini ala-ala hipster agaknya. Ramai orang muda-muda yang makan sampai bertingket-tingket mangkuknya.

Nampak murah RM1.90 tapi kalau dah 10 mangkuk, jadi RM19.00 juga. Maka murah bukanlah satu sebab untuk makan di sini.

Bagaimanapun jika nak menikmati makanan thai dan bertukar selera sedikit bolehlah mencubanya. Walaupun saya tidaklah tahu sejauhmana benarnya rasa Thainya kerana saya belum pernah sampai ke Thailand.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Leave a Reply