Benefits of Bay-led Weaning

Isyraq memerhatikan potongan buah naga di hadapannya dengan penuh asyik. Dia menolak potongan buah tersebut dengan jarinya.

Sejuk. Barangkali itu dalam fikirannya berdasarkan reaksi pada wajahnya. Mommy baru keluarkan buah naga itu dari peti ais.

Isyraq cuba memegang buah naga dengan tangan kanannya. Licin. Terlepas.

Isyraq mengangkat buah naga dengan mengepitnya menggunakan kedua-dua tangan kanan dan kiri. Mommy menepuk tangan gembira, memberi semangat kepada Isyraq.

Isyraq jeling mommy. Apa nak buat dengan benda merah ini? Barangkali itu dalam fikirannya.

Cium dulu. Isyraq letak berdekatan dengan hidung. Wangi. Agaknya itulah dalam fikirannya.

Isyraq lihat mommy senyum. OK, saya buat betul. Apa lagi nak buat?

Dan seperti kebanyakan bayi lain, deria seterusnya adalah merasa dengan lidah.

Isyraq masukkan dalam mulut. Terkenyit-kenyit matanya. Buah naga sedikit masam. Terus diletakkan semula atas dulang makanan. Mommy masih senyum sambil tepuk tangan.

Isyraq memicit-micit buah naga menjadi ketulan-ketulan kecil. Lembut. Mushy. Isyraq mengangkat tinggi tangannya yang memegang buah naga lalu meletakkannya di tepi kerusi.

Yeah! Buah naga jatuh atas lantai. Mommy cepat-cepat tunduk mengutip buah naga yang jatuh di atas lantai. Lantas Isyraq cepat-cepat juga cuba memegang kepala mommy.

Opppss! No no Isyraq. Jangan pegang kepala mommy dengan tangan yang kotor.

Begitulah keadaan “main kotor” yang berlaku dalam baby-led weaning.

Hari itu saya risau juga, eh, saya jarang sekali membenarkan anak-anak saya bermain kotor (messy play). Tapi bila fikir-fikir semula, dalam baby-led weaning (BLW) ini anak dapat peluang bermain kotor.

Dalam BLW, anak mendapat peluang untuk mencuba makanan sendiri. Sesi makan menjadi lebih menyeronokkan kerana setiap orang memainkan peranan aktif.

Anak mengawal sendiri apa yang hendak dimakan, banyak mana, berapa laju dan belajar tentang jenis-jenis makanan serta melakukannya sendiri.

Secara naturalnya, bayi telah diprogramkan untuk meneroka dan membuat eksperimen untuk belajar tentang kehidupan. Mereka menggunakan tangan dan mulut sebagai makmal untuk mengetahui tentang pelbagai jenis objek termasuklah makanan.

Melalui BLW, bayi mengetahui tentang rupa, bau, rasa dan tekstur pelbagai jenis makanan. Bayi juga berpeluang mengendalikan makanan dan mencuba rasa makanan yang telah dicampurkan.

Ohhh, saya memang masih ingat bagaimana Afiah dan Azmina (secara berbeza masa) akan mencampurkan segala makanan dan minuman dalam satu bekas dan memakannya. Haru, mommy dan abah geleng kepala sahaja. Tetapi mereka makan sehingga habis.

Walaupun nampak seperti bermain, hakikatnya dalam dunia bayi mereka tidak pernah bermain. Segala apa yang mereka lakukan adalah sentiasa belajar.

Dan kebanyakan perkara yang boleh mereka pelajari melalui permainan pendidikan terbaik (dan termahal) boleh dipelajari dengan mengendalikan makanan.

Contohnya, bayi dapat belajar bagaimana memegang sesuatu yang lembut tanpa memecahkannya atau memegang sesuatu yang licin tanpa menjatuhkannya.

Dan konsep-konsep seperti lebih sedikit, lebih banyak, saiz, bentuk, berat dan tekstur juga dapat dipelajari semasa makan.

Dengan menggunakan keseluruhan deria mereka (melihat, menyentuh, mendengar, bau dan merasa), bayi dapat mengaitkan semua perkara ini antara satu sama lain dan lebih memahami tentang dunia besar sekeliling mereka.

Menyuap makanan sendiri memberi peluang kepada bayi berlatih aspek penting dalam perkembangan diri.

Sewaktu menggunakan jari untuk memasukkan makanan ke mulut bermakna mereka berlatih koordinasi mata dan tangan, menggenggam makanan pelbagai saiz dan tekstur beberapa kali sehari pula meningkatkan kecekapan mereka.

Mengunyah sendiri makanan pejal akan menguatkan otot-otot muka yang membantu mereka belajar bercakap kelak.

Cuma satu yang ibu ayah perlu bertahan, kotor dan bersepah. Hihi.

Tapi jangan bimbang kerana bagi kebanyakan bayi, masalah kotor dan bersepah ini hanya mengambil sedikit masa. Dua ke tiga bulan sahaja. Dan lagi, sebenarnya juga ada tips dan trik untuk menguruskan masalah kotor dan bersepah ini.

Yang lebih penting adalah bayi mendapat pelbagai manfaat melalui BLW.

Selamat menjamu selera.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy suka praktis baby-led weaning

Penafian:

Saya bukan pakar kanak-kanak mahupun pakar keibubapaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *