Lain-lain

Bodoh dan Kurang Ajar

Hari tu sedang syok-syok saya mengepam di meja makan, sayup-sayup saya dengar suara Afiah yang bermain di luar rumah.

Tengok sini Afiah buat, bodoh.”

Saya diam sebentar nak pastikan benarkah apa yang saya dengar.

Tengoklah sini, bodoh, Afiah buat.”

Terus saya panggil Afiah masuk.

Dengar ceria Afiah berlari masuk kerana mungkin ingat mommy nak beri coklat. Hahaha.

Saya tanyakan Afiah adakah dia tahu makna perkataan bodoh. Dia menggeleng kepala.

Lantas saya terangkan kepada dia yang bodoh itu berlawanan maksud dengan pandai. Bodoh itu maksudnya tidak tahu atau tidak pandai.

Dan apabila digunakan dalam ayat seperti yang Afiah gunakan tadi ia beerti menghina orang lain.

Saya pesan supaya tidak gunakan perkataan bodoh itu sewenang-wenangnya. Afiah mengangguk faham.

Beberapa hari selepas itu, dengar lagi Afiah bermain di luar.

Jangan macam tu lah, kurang ajar.”

Ah, sudah. Mana lagi pula belajar perkataan ini.

Sekali lagi Afiah dipanggil dan ditanyakan maksud kurang ajar.

Sekali lagi Afiah menggeleng menyatakan tidak tahu maksudnya.

Saya tak tahu dari mana dia kutip perkataan-perkataan tersebut kerana kami jarang sangat menggunakannya. Nak kata tak pernah guna tu mustahil pulak kan.

Apapun, dari mana dia kutip perkataan-perkataan ini adalah kurang penting berbanding memberitahunya bahawa perkataan-perkataan sebegini boleh membawa maksud yang kurang baik.

Kita tak dapat nak kawal perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan buruk dari ditemui oleh anak kita (kecuali jika kita simpan sahaja anak tersebut di almari kaca perhiasan).

Tetapi kita dapat membantu memberi panduan kepada anak bagaimana membuat pilihan yang bijak.

Ini zaman internet. Segalanya saling berkaitan. Segalanya dihujung jari.

Anak-anak perlukan panduan untuk memilih perkara baik, bukan dihalang dari mengetahui perkata tidak baik.

Jika susah, simpan sahaja anak dalam almari kaca buat perhiasan.

Azleen

#cikgumommy

Leave a Reply