Suka Makan

Daging Salai Dan Pucuk Paku Masak Lemak

Hari ini nak masak daging salai yang dah lama beli dari Nazrin. Ini original daging salai beli dari Negeri Sembilan. RM10 satu pek 170 gram.

Kemudian saya ke Kota Masai. Di kawasan Marry Brown sana saya perasan ada beberapa gerai yang menjual pelbagai jenis ulam-ulaman.

Ada satu gerai milik wanita sarawak yang menjual pucuk paku, labu sarawak, pucuk labu dan pelbagai ulaman.

Saya pilih untuk mencampurkan pucuk paku dengan daging salai kali ini.

Ini kali pertama saya memasak daging salai. Hihi.

Buka plastik daging salai tu, aromanya memang menggoda. Saya baca resepi di google rata-rata semuanya kata kena rebus dahulu daging salai ini kerana masih liat dan keras.

Saya pun menghiris daging salai ini kecil-kecil sebagai persediaan merebusnya. Tidak tahan dengan aromanya yang smokey tu saya mengambil satu untuk merasanya.

Eh, lembut sahaja dagingnya. Ini makan dengan cicah air asam pun sedap ini.

Jadi tukar plan, sedikit sahaja daging salai dimasukkan ke dalam lemak pucuk paku, selebihnya makan begitu sahaja.

Bahan-bahan untuk masak lemak adalah:

  • pucuk paku

  • daging salai

  • cili api ditumbuk

  • santan

  • halia

  • kunyit

  • serai

  • asam keping

Cara memasak ada dalam gambar ya.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Daging lembu salai yang aroma memikat selera

Potong daging kecil dan nipis

Siang pucuk paku dan masukkan dalam besen hijau

Oleh kerana saya jarang memasak, bahan-bahan seperti serai, kunyit dan halia saya gunakan yang dah dikisar sahaja. Lebih tahan lama untuk disimpan.

Tumbuk cili api ikut kepedasan yang mahu.

Masukkan semuanya dalam periuk kecuali pucuk paku.

Rebus dahulu sehingga sebati.

Masukkan pucuk paku setelah mendidih.

Masukkan asam keping.

Akhir sekali masukkan santan kotak cap kara.

Siap dalam periuk. Perasakan dengan garam dan gula kalau korang suka.

Dah, jom makan pucuk paku dan daging salai masak lemak.

Leave a Reply