Homeschooling

Melatih Kemahiran Berfikir Aras Tinggi Seawal Usia

Mari sambung kisah botol susu yang diterbalikkan.

Selepas lihat Azmina terbalikkan botol susu, dan susu pun tis tis tis menitis di atas lantai.

Azmina senyum gembira. Afiah melopong, barangkali kagum dengan corak-corak yang terhasil oleh susu di atas lantai.

Mommy pun berkata dengan penuh kasih sayang, “Susu dah tumpah ni angah. Lantai basah. Nak buat macam mana?”

Azmina pandang muka mommy dan senyum. “Uuu.” Terjemahan –> Tak tahu.

Mommy pun pandang Afiah. Afiah sengih.

“Bukan kakak yang buat.”

Dia ingat mommy nak marah agaknya.

Begitulah kawan-kawan. Dalam kebanyakan situasi, biasanya mommy akan marah dan membebel.

Kemudian terus suruh Azmina atau Afiah ambil kain untuk mengelap susu yang telah tumpah.

Tapi, kata nak melatih pemikiran aras tinggi (KBAT). Bagaimana?

  1. Tanya kepada anak, apa yang telah berlaku. Reaksi susu di atas lantai. Tumpah – basah – kotor.

  2. Tanya anak apa yang hendak dilakukan sekarang. Kita akan terpukau dengan banyaknya jawapan yang mereka akan beri.

Ada anak yang akan mengelapnya dengan tangan, dengan baju sendiri, dengan tisu, dengan kain lap dapur. Dan lebih hebat mungkin ada yang akan kata, “Biar sahajalah mommy. Nanti kena kipas, lama-lama ia akan kering.”

Nampak, untuk menyelesaikan masalah susu tumpah di atas lantai, ada banyak penyelesaian.

Tapi kita cenderung untuk terus memberi penyelesaian kepada masalah tersebut.

“Kakak, pergi ambil kain lap kat dapur. Kemudian lap susu yang tumpah ini.”

Selesai masalah.

Cuma pemikiran anak tidak berkembang. Tidak berlaku pemikiran kreatif dan kritis. Tidak mampu menyelesaikan masalah. Tidak mahu berfikir kerana telah terbiasa adanya mommy yang memberi jalan penyelesaian kepada masalah yang timbul.

Jadi kawan-kawan, apabila anak melakukan sesuatu perkara apa kata kita beri mereka ruang dan peluang untuk berfikir menyelesaikan perkara tersebut.

Bersabarlah menunggu mereka berfikir dan sel-sel otak berhubung. Kita akan takjub dengan hebatnya kemampuan mereka menyelesaikan masalah.

Mulakan dari 0 ke 6 tahun. Barulah KBAT di usia 7 tahun ke atas.

PLAY DOES WORK!

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Kupasan ilmu dari FROEBELSS Kuantan 2017.

Leave a Reply