Pantun Melayu

Burung kenek-kenek terbang cucur atap,

Pesan datuk nenek rajin-rajin baca kitab.

Burung kenek-kenek terbang atas pagar,

Pesan datuk nenek rajin-rajinlah belajar.

Burung kenek-kenek hinggap tepi pandan,

Pesan datuk nenek rajin-rajin jaga badan.

Burung kenek-kenek hinggap tepi telaga,

Pesan datuk nenek budi bahasa budaya.

Dua tiga hari ni saya menyanyikan lagu-lagu ini kepada Isyraq sewaktu memandikannya. Angah jeling sahaja. Afiah pun sibuk nak dengar dan tanya kenapa.

Menurut buku Wiring The Brain For Reading dan juga merujuk kepada piramid kemahiran membaca, kebolehan memahami perkataan berima adalah salah satu ciri penting dalam kesedaran fonemik.

Selama ini saya nyanyi nursery rhymes, bahasa Inggeris. Puas juga saya fikir nursery rhymes dalam bahasa Melayu. Kalau anda tahu, sila kongsikan dalam komen ya.

Kemudian saya teringat pantun-pantun hujungnya mesti berima. Selain daripada berima, ianya juga diselitkan dengan nasihat-nasihat untuk anak.

Nampak tak, betapa 50 tahun lalu belum ada lagi kajian tentang otak untuk membaca tetapi datuk nenek yang mencipta pantun-pantun ini sudah diilhamkan oleh Allah SWT untuk mendidik anak. MasyaAllah.

1. Membina litar membaca melibatkan proses mengitar-semula neuron bahasa, auditori dan visual. Tetapi lebih banyak pada bahasa dan auditori. Justeru, kesedaran fonemik amat penting dalam langkah awal untuk mengajar anak membaca.

2. Salah satu ciri penting dalam kesedaran fonemik adalah kebolehan mengenalpasti perkataan yang berima, kebolehan mengenalpasti perkataan yang mempunyai sebutan yang sama, samada di depan, di belakang atau di tengah.

3. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah menyanyikan lagu kanak-kanak yang berima. Nyanyian mestilah ceria dan mempunyai intonasi yang baik (tinggi rendah suara). Pilih 1 atau 2 lagu sahaja diperingkat permulaan. Boleh juga menyanyikan lagu Abu Ada Ayam dan Cory The Cat. Buat aksi.

4. Selepas anak biasa (familiar) dengan lagu tersebut, cuba hilangkan bahagian akhir lagu. Tunggu untuk anak menyambungnya. Ini boleh dilakukan sedari bayi lagi. Tapi dah tentulah bayi akan menjawab dengan bahasa bayi.

5. Di peringkat seterusnya, tukarkan 1 perkataan pada baris lagu kepada perkataan lain. Lihat samada anak dapat mengecam kesilapan tersebut.

6. Bagi anak yang lebih besar, boleh minta anak gantikan dengan perkataan berima lain. Walaupun mungkin maknanya tidak sesuai atau perkataan diberi tidak bermakna, layankan sahaja. Kerana yang diperlukan dalam peringkat ini adalah kebolehan anak mengenalpasti ritma, bukan pemahaman. Pemahaman boleh dibuat di waktu lain.

Nor Azleen, Abd Rahim.

#cikgumommy juga cikgu menyanyi (lagu kanak-kanak sahaja)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *