Lain-lain

Sindrom Anak Tengah

Anak tengah dikatakan selalu rasa kurang disayangi. Maklumlah, ibu sibuk dengan adik. Ayah pula biasanya lebih mudah melayan karenah kakak atau abang yang lebih besar.

Setiap hari ada sahaja yang akan Angah tangiskan dan amukkan. Hendak mandi pun menangis, hendak makan pun mengamuk bahkan kadang-kadang hendak tidur pun ada sahaja perkara yang mengguris hatinya.

Tambahan pula pelatnya menyebabkan kami sukar memahami mesej yang cuba disampaikan. Lalu bertambah kuatlah tangisan dan amukannya.

Saya juga anak tengah. Semasa kecil sering merasa diri kurang disayangi berbanding adik-beradik yang lain.

Pernah satu tahap saya menyelinap masuk ke bilik emak untuk mencari di mana letaknya surat beranak saya. Masa itu baru tahu bahawa jika anak angkat ada catatan pada surat beranak.

Awas, emak saya tidak tahu rasanya ini. Tapi kejap lagi dia bacalah agaknya posting ini. Hahaha. Maafkan anakmu, emak!

Berbalik cerita mencari bukti bahawa saya anak angkat, malangnya saya gagal jumpa surat beranak saya. Entah di mana emak simpan masa itu. Bukan sekali saya mencuba, berkali-kali.

Akhirnya saya pasrah bahawa memang kurang disayangi oleh emak dan abah. Hahaha. Sementelahanan lagi, seawal tingkatan 1 saya sudah dihantar tinggal di asrama.

Bertambah-tambahlah perasaan kononnya kurang disayangi.

Kebetulan pula, adik saya bezanya kurang 2 tahun. Jadi saya juga membuat andaian mungkin kerana itu saya merasa kurang kasih sayang.

Tidak sempat bermanja sudah dapat adik. Ada adik bayi sudah tentu perhatian emak beralih kepada bayi.

Begitu juga dengan jiran-jiran dan saudara-mara. Bila berjumpa sibuk bertanya kakak sudah sekolah, sekolah di mana, sudah pandai baca.

Kemudian tegur pula adik bayi, Allah comelnya bayi, sudah berapa bulan, sudah pandai merangkak, sudah pandai membaca?. Ek eh, over soalan itu.

Kurang sekali yang mahu tanya tentang anak tengah ini. Sehingga seringkali juga nama anak tengah pun mereka lupa. Aduh duh sakitnya hati ini.

Itulah perasaan saya semasa kecil. Dan berbekas sehingga sekarang.

Walaupun sekarang sudah tahu yang itu hanyalah perasaan sahaja. Bukan realiti.

Tapi kesannya kepada perlakuan saya semasa kecil adalah besar.

Sama seperti angah, saya mudah menangis dan mengamuk kerana perkara-perkara kecil yang tidak orang fahami.

Hati menjadi sangat sensitif sehingga orang fikir saya cuma mengada-ngada dan berlebih-lebihan.

Tapi masa kecil mana tahu mahu beritahu emak dan abah bahawa diri rasa kurang disayangi sehingga menyangka sendiri anak angkat.

Lagi-lagi bila emak, abah dan kakak kerap bergurau mengatakan mereka jumpa saya di tepi jalan estes Mado’s kerana rupa paras saya yang tinggi, kurus dan hitam.

Oleh kerana itu, saya sekarang sangat berhati-hati dengan Angah. Cuba sedaya upaya memastikan dia tidak terasa kurang disayangi, apatah lagi merasa yang dia bukan anak mommy.

Sebagai ibu bapa, saya berhati-hati dengan apa yang saya ucapkan kepada Angah. Tiada gurauan mengatakan dia anak yang ditemui di tepi jalan, atau diberi orang.

Setiap hari ucapkan “Mommy sayang angah. Angah anak mommy” dan pelukan 10 saat.

Sekarang Angah juga sudah pandai membalas “Ngah yang mi” maksudnya Angah sayang mommy.

Walaupun banyak baju Afiah yang turun kepadanya, Angah tetap mendapat baju-baju baru yang dibeli khusus untuk Angah. Jadi boleh bayangkan bahawa baju Angah jauh lebih banyak dari orang lain.

Apabila bertemu dengan anak tengah yang lain terutamanya yang kedua, saya akan memastikan saya menegurnya juga, selain dari abang, kakak dan adiknya.

Sindrom anak tengah ini memang sukar difahami, pelik, kadang-kadang boleh buat naik darah tetapi percayalah yang ianya benar.

Leave a Reply