Tips Parenting

Berapa Banyak Bahasa Nak Ajar Anak?

Berapa banyakkah bahasa yang boleh kita ajar kepada anak kecil?

Menurut Glenn Doman, pada usia 0 hingga 6 tahun, anak boleh menguasai sehingga 7 bahasa secara serentak.

Menurutnya lagi, perkara tersebut boleh berlaku apabila seorang anak itu didedahkan kepada 7 bahasa sejak lahir oleh individu berbeza.

Contohnya, seorang bayi yang lahir hasil perkahwinan campur. Ibu yang bertutur dalam bahasa Melayu, ayah yang bercakap dalam bahasa Inggeris, datuk sebelah ibu mahir bercakap bahasa Tamil, nenek sebelah ayah yang bercakap dalam bahasa Banjar dan seterusnya.

Mereka ini pula menggunakan bahasa tersebut setiap kali mereka berkomunikasi dengan bayi tadi. Ringkasnya One Parent One Language.

Dengan izin Tuhan, bayi ini boleh berkomunikasi dalam semua bahasa yang didedahkan kepadanya.

Bagaimanapun hari ini ramai yang hanya mengambil kira ayat pertama Glenn Doman iaitu anak boleh menguasai sehingga 7 bahasa serentak.

Maka kita pun padatkan jadual harian anak dengan segala bahasa yang kita punya akses kepadanya. Dari bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Mandarin, bahasa Tamil sehinggalah bahasa Rusia.

Kemudian, anak tidak dapat menguasainya. Maka kita panik. Kita pun hantar anak ke segala macam kelas bahasa yang ada. Anak masih tidak dapat. Lebih teruk lagi apabila anak mula mencampuradukkan bahasa yang ada sehingga ia tidak lagi memberi makna yang boleh difahami.

Semuanya kerana kita gagal membaca bahagian yang seterusnya dalam ayat Glenn Doman iaitu 7 bahasa itu didedahkan secara berterusan oleh penutur yang berbeza.

Yang menjadi mangsa adalah anak. Semakin dia tidak menguasai bahasa yang dipelajarinya semakin dia merasa tertekan dan rendah diri. Semakin pula rendah peluangnya untuk menguasai apa yang dikehendaki dia belajar.

Jadi, sebelum kita memaksa anak belajar 7 bahasa serentak, apa kata kita pun turut sama merasai apakah pengalaman mempelajari 7 bahasa serentak.

Mampu ke kita?

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy nak belajar bahasa Arab.

Leave a Reply