Tips Parenting

Didik Anak Hormati Hak Orang Lain

“Mommy, hari tu Haq guna outliner pencil kakak. Dia terbuka sikit. Susah kakak nak pakai dah.” Kata Afiah sewaktu mengemas begnya ke Muzart.

Saya sedang memanaskan lauk untuk Azmina dan Isyraq. “Dia guna macamana?”

“Kakak tak perasan dia ambil. Bila kakak tengok dah jadi gitu. Dia terbuka sikitlah. Boleh guna lagi tapi susah sikit.”

“Bawa sini.”

Pensel itu terpatah dua di tengahnya. Afiah kata Haq yang patahkan. Haq yang ambil tanpa disedarinya.

“Kakak bagitahu teacher tak? Lain kali terus bagitahu teacher. Mommy nak cakap pun susah sebab dah seminggu ini.”

“Teacher nampak. Teacher dah marah Haq.”

Fuh. Susah juga kan. Saya sebolehnya tidak mahu masuk campur urusan dalam kelas dan juga urusan main anak-anak.

Mematahkan atau merosakkan barang orang lain. Apabila di kelas saya, ia dianggap satu kesalahan serius.

Kecil. Tetapi serius. Kerana yang kecil ini boleh menjadi besar jika tidak dididik dari awal.

Tambahan lagi apabila ia dilakukan dengan sengaja. Fuh fuh.

  1. Anak-anak perlu belajar menghormati hak dan harta orang lain.

  2. Apabila mahu menggunakannya, perlulah minta kebenaran dahulu.

  3. Apabila menggunakannya, mestilah dengan cermat dan berhati-hati.

  4. Setelah gunakan haruslah bersyukur, berterima kasih dan memulangkannya kembali.

  5. Apabila ianya rosak semasa sedang digunakan hendaklah bersikap jujur. Meminta maaf dan menggantikannya dengan nilai yang sama.

Dan semua ini diajar dari awal usia.

Kesalahan yang dilakukan pada usia 7 tahun jika tidak dibendung boleh membawa kepada kesalahan lebih besar pada usia dewasa. Siapa tahu.

Oh tidak, saya tidak mesej guru kelasnya ataupun ibu bapa Haq. Saya cuma betulkan pensel Afiah dan tunjukkan kepadanya ia masih boleh dipakai.

Saya juga berpesan supaya menyimpan barangnya dengan teliti di dalam kelas bagi mengelakkan perkara yang sama berulang lagi.

Sebentar tadi waktu hantar Afiah ke kelas, saya nampak Haq sudah datang. Saya pesan kepada Afiah, “Cakap dengan Haq, mommy kita marah awak patahkan pensel kita. Kalau awak buat lagi, nanti mommy kita datang kelas marah awak.” Haha.

Afiah sengih -sengih malu sahaja. Rasanya dia cakap tak dengan Haq?

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Leave a Reply