Lori Pindah Rumah

Hari itu tiba-tiba Afiah beritahu saya, “Mommy, ada orang suruh kita pindah rumah.”

“Kita nak pindah ke mana? Siapa yang suruh pindah?”, tanya saya.

“Tak tahulah. Ada tulis kat luar pagar rumah kita.” Kata Afiah lagi.

Hmm, dalam hati saya ini rasanya saya pasti tidak ada buat pinjaman dengan Along. Suami saya pun tidak berani berbuat demikian. Siapa pula yang tulis suruh kami pindah rumah.

Lama berfikir barulah saya teringat akan papan iklan lori pindah rumah yang dipasang pada tiang lampu betul-betul di pintu pagar rumah saya.

“Oh kakak, orang tu dia ada lori. Kalau kita nak pindah rumah, boleh sewa lori dia untuk angkat barang. Dia buat iklan sahaja.”

Afiah kelip-kelip mata sambil mengerutkan dahi cuba memahami penerangan saya.

“Ohh, kakak ingatkan dia nak suruh kita pindah.”

Begitulah, anak yang sedang mempelajari bahasa mudah tersilap faham. Terutamanya ayat-ayat pengiklanan yang mengelirukan.

Sebab itu, kerajaan ada memperuntukkan peraturan dan undang-undang dalam beriklan. Sebagai individu bertanggungjawab kita hendaklah memastikan iklan kita menggunakan ayat yang mudah difahami, telus dan tidak mengelirukan.

Antara perkara-perkara yang harus diambilberat dalam membuat iklan adalah:

  1. Hakcipta material dalam iklan tidak boleh kepunyaan orang lain tanpa meminta kebenaran secara bertulis terlebih dahulu. Contohnya memgambil gambar dari google search dan terus letakkan dalam iklan. Bahaya ini.
  2. Gunakan bahasa yang mudah difahami khalayak ramai.
  3. Tidak menggunakan perkataan superlatif seperti “paling, nombor 1, top” atau perkataan yang mengandungi “ter”.
  4. Penggunaan perkataan seperti “100%, murni, asli” mestilah dibuktikan secara bertulis oleh pihak berkuasa yang mempunyai authority dalam bidang berkenaan.
  5. Penggunaan perkataan “Halal” mestilah disertakan dengan kebenaran dari Majlis Agama Islam yang berkenaan.
  6. Tanda asterik (*) hanya boleh digunakan untuk memberikan perincian tentang produk. Bukan untuk mengelirukan kualiti, cara penghasilan ataupun harga produk berbanding yang diiklankan.
  7. Penggunaan perkataan “satu-satunya” mestilah diperincikan dalam hal apa, dan disertakan dengan bukti yang menunjukkan ianya adalah satu-satunya produk dalam bidang tersebut.
  8. Iklan tidak boleh menimbulkan atau memainkan perasaan takut kecuali untuk tujuan positif.
  9. Penggunaan testimoni hanyalah mewakili orang perseorangan, bukan mewakili kumpulan orang atau lembaga tertentu.

Sudahlah, cukuplah sembilan perkara ini dahulu sebagai panduan kita membuat iklan. Nak patuhi yang sembilan ini pun sudah cukup sukar barangkali. Huhu.

Selamat membuat iklan yang beretika.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.