Makanan Meransang Perkembangan Otak

Semasa saya masih bertugas sebagai guru, saya ada seorang pelajar bernama Zul (bukan nama sebenar). Ada satu hari itu, beliau nampak begitu ceria. Segala apa yang diajar pada hari tersebut dapat difahaminya dengan mudah.

Zul adalah pelajar yang sudah sekian lama saya ajarkan membaca. Dua tahun mengajarnya, menulis nama sendiri pun masih lagi terkial-kial meniru daripada tanda namanya sendiri. Ada masanya dia menulis nama dalam tulisan terbalik. Ada masanya nama panjang yang persis nama seorang raja itu pun dilupakannya.

Pendek kata mengajarnya memang membuatkan tumpah air mata sentiasa. Tumpah kerana mengasihaninya dan juga tumpah kerana stress mengulang perkara yang sama bertahun-tahun.

Jadi bila hari itu Zul dapat memahami pengajaran dengan mudah dan cepat, saya terus selidik.

– Ada siapa di rumah?
– Buat apa sebelum datang sekolah?
– Makan apa hari ini?

Mulanya jawapannya sama sahaja seperti hari-hari biasanya. Tapi akhirnya pecah satu cerita. Sebelum ke sekolah hari itu, ibu berikan dia multivitamin. Jenis apa, jenama apa, berapa biji tidaklah diketahui.

Sejak itu saya perhatikan dia dengan lebih teliti. Setiap hari saya akan bertanyakan soalan tentang apa yang berlaku dan dimakan di rumah.

Selepas beberapa bulan, saya membuat kesimpulan bahawa pada hari-hari yang ibunya memberikannya multivitamin, Zul dapat memahami pembelajaran dengan lebih baik dan cekap. Sebaliknya pada hari-hari yang tidak mengambilnya, Zul sangatlah lemau dan gagal memahami apa yang diajar.

Hari ini, barulah saya lebih memahami kaitan antara multivitamin dengan kecekapan otak Zul memproses maklumat.

Menurut Marilee Sprenger dalam bukunya Wiring The Brain For Reading, nutrisi semasa mengandung merupakan bahagian penting dalam pembangunan otak.

Sebab itulah, kebanyakan doktor akan memastikan ibu mengandung mengambil asid folik. Kekurangan asid folik boleh menyebabkan kecacatan tiub neural pada bayi.

Setiap neuron dalam otak akan menerima nutrient dan menggunakannya untuk mencipta neurotransmitter, bahan kimia dalam otak yang membantu kita membuat segala apa yang kita buat. Sesetengah neurotransmitter ini memerlukan makanan tertentu untuk dihasilkan.

Contohnya adalah;

– Protin seperti daging, telur, keju, ikan dan kekacang digunakan untuk menghasilkan tirosin, bagi menghasilkan dopamin. Dopamin membantu memberi perhatian, fokus, motivasi dan sikap positif.

– Susu dan sebahagian daripada karbohidrat kompleks, seperti bijirin penuh, sayuran digunakan untuk menghasilkan triptofan, bagi menghasilkan serotonin. Serotonin mempengaruhi mood, kebahagiaan dan rileksasi.

– Kuning telur, kekacang dan kacang soya pula mengandungi nutrien diperlukan untuk menghasilkan kolin, bagi menghasilkan asetilkolin. Asetilkolin mempengaruhi penciptaan dan mengesan semula daya ingatan, pergerakan dan konsentrasi.

Bonusnya pula adalah coklat gelap kaya dengan aktioksidan dan bagus untuk otak dan juga badan. Ia mengeluarkan bahan radikal bebas dalam otak.

Bayangkan apa yang berlaku dalam otak anak kita kesan daripada pemakanan yang kita beri!

Selepas ini, kita perlu memberikan lebih perhatian terhadap apa yang masuk ke dalam perut anak kita. Pastikan anak mengambil sekurang-kurangnya 10 peratus protin dalam pemakanan harian mereka bagi memastikan otak dapat berfungsi dengan sempurna dari semua segi.

Dan jika anak dikenalpasti mempunyai masalah khusus tertentu, boleh baca semula jenis-jenis makanan yang mempengaruhi masalah khusus tersebut. Barangkali anak kita jenis yang memilih makanan dan hanya makan makanan tertentu sahaja.

Contohnya apabila anak kita ada masalah dengan fokus dan memberi perhatian, lebihkan makanan dari sumber protin. Dan apabila anak kita sukar dikawal dan kerap tantrum berikan makanan seperti susu dan karbohidrat kompleks. Dan sentiasa berikan sedikit coklat gelap setiap hari.

Nampak mudah tetapi penuh cabaran untuk melaksanakannya. Saya ucapkan selamat maju jaya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.