Mencari Pengasuh

“Esok, semua orang kena bangun pagi. Mommy nak bawa nenek pergi hospital.”

“Dan?”, tanya Afiah.

“Dan apa?”

“Dan kami semua kena pergi mana?”

“Semua kena ikut mommy.”

“Hari tu mommy kata kami semua pergi rumah Aunty Y.”

Aunty Y adalah pengasuh yang baru saya ambil bekerja pada bulan lepas.

Baik orangnya. Pengasih dan penyayang. Menjaga anak-anak saya seperti anaknya sendiri. Walaupun dia belum punya anak sendiri.

Bagaimanapun, beberapa hari yang lepas saya meminta Aunty Y berhenti kerja.

Puncanya adalah beliau kerap juga tidak hadir, hadir lambat, kadang-kadang minta keluar ke sana dan ke mari.

Baru kerja 6 minggu sudah lebih 3 hari berlaku keadaan sebegitu.

Jadi walaupun beliau bagus, saya terpaksa melepaskan beliau pergi.

Menyimpan pekerja yang ada masalah kehadiran akan memberi beban yang tidak munasabah terhadap perkembangan perniagaan. Sukar untuk saya membuat rancangan jika saya tidak boleh mempercayai samada beliau akan hadir kerja atau tidak.

Tambahan lagi selepas raya ini saya jangkakan akan ada banyak kerja luar seperti bengkel dan kursus. Jadi jika tiba-tiba pada hari yang saya perlu ke luar dan pengasuh tidak datang, bagaimana keadaannya.

Maka saya membuat pilihan berat, iaitu meminta Y berhenti jika beliau tidak boleh memberi komitmen.

Pengasuh ibarat tangan kanan saya. Jika tangan kanan tidak ada, sangat sukar untuk anggota lain melaksanakan tugasnya. Habis jem satu badan.

Sekarang, saya perlu mencari pengasuh lain. Sukar tetapi pastinya lebih mudah dari menghadapi kemungkinan pengasuh tiba-tiba tidak hadir. Tanpa sebab yang munasabah.

Azleen
#cikgumommy

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.