Motivasi, Ganjaran dan Rasuah

Ganjaran dan rasuah adakalanya sangat berkesan, terutamanya kepada anak kecil. Matlamat kecil yang dicapai sepanjang perjalanan belajar membaca boleh diberikan ganjaran yang kecil bersesuaian.

Contohnya, dalam kelas Whiztots tutor akan memberikan sebutir coklat Nips setiap kali pelajar dapat membaca satu perkataan. Sekeping stiker senyuman pelbagai warna pula diberikan untuk dilekatkan pada tapak stiker setiap kali pelajar berjaya menyiapkan satu kertas aktiviti, tidak semestinya betul dan kemas.

Selepas tapak stiker tersebut penuh (ada 50 ruang untuk ditampal), pelajar boleh menukarkannya dengan hadiah seperti keychain dan buku nota yang comel.

Di rumah, ibu bapa digalakkan memberikan ganjaran seperti keluar menonton wayang atau keluar makan di restoran pilihan anak setiap kali anak berjaya menamatkan satu-satu buku Bacalah Anakku.

Jadikan hal menamatkan satu-satu buku itu sebagai kejayaan yang besar. Kan anak sedang dalam perjalanannya menjadi pembaca yang hebat.

Ada seorang pelajar saya (kita panggil sahaja Abu) yang tidak suka membaca buku. Ibunya berjanji akan memberikannya 10 sen bagi setiap muka surat yang dibacanya. Dan bagi setiap muka surat yang berikutnya, ibu Abu berjanji akan menggandakan wang tersebut.

Ini bermakna muka surat pertama Abu akan dapat 10sen. Muka surat kedua, Abu akan dapat 20 sen dan muka surat ketiga Abu akan dapat 40sen. Begitulah seterusnya.

Ibu Abu terkejut kerana Abu berjaya membaca 11 muka surat. Abu berhenti kerana buku cerita tersebut sudah habis dibacanya dari kulit hadapan ke kulit belakang.

Nah, Abu bukanlah seorang yang mahir tentang mengira juga. Bagaimanapun di akhir sesi membacanya, Abu tersengih meminta ibunya sejumlah RM204.70, cukup untuk membelikannya sebuah skuter baru.

Hati-hati jika kalian berhasrat menggunakan taktik ini.

TIP #10- Tugasan yang ditetapkan untuk anak mestilah bersesuaian. Tidak terlalu sukar. Sekiranya anak gagal melaksanakannya, walau bagaimana sekalipun anak mencuba, anak akan berasa sedih, kecewa dan mungkin putus asa.

TIP #11- Sekiranya kalian memberikan ganjaran keluar menonton wayang atau keluar makan di restoran pilihan, cuba pastikan hanya kalian berdua sahaja dengan anak. Anak kalian mestilah menjadi individu paling penting ketika itu. Perkara terakhir yang dimahukannya adalah dua orang dewasa yang berbual tidak menghiraukannya atau adik beradik lain yang menjerit mahukan perhatian.

Afiah seringkali memberitahu saya, “Mommy, kakak rindu sangat masa mommy dengan kakak sahaja, tak ada Angah dan Isyraq.”

#mudahnyamengajarmembaca

Leave a Reply