Telur Pindang Buah Tangan Majlis Perkahwinan

Ini adalah buah tangan perkahwinan yang paling saya gemari. Telur pindang namanya.

Masa kecil dahulu, telur pindang dibalut dengan tisu kertas sahaja. Digulung-gulung hujungnya dan diikat menjadi macam beg kecil.

Mudah dibawa. Sudah makan, lap mulut dan kulit telur masuk ke dalam tisu. Terus boleh buang.

Sekarang semakin sukar menemui telur pindang ini di majlis perkahwinan. Mungkin kerana yang membuatnya pun sudah tidak ramai.

Pengasuh anak-anak ada juga membuat telur pindang ini. Masaknya sampai berhari-hari. Jika tidak silap, jika mahu telur siap hari Jumaat, hari Isnin sudah mula merebus.

Sebab itu telur pindang tahan lama.

Siapa sangka, majlis perkahwinan di KL kali ini memberi telur pindang sebagai buah tangan. Suami kata bapa pengantin orang Batu Pahat. Oh patutlah.

Harga telur ini sekarang boleh mencecah sehingga RM1.50 ke RM2.00 sebiji yang siap dimasak. Barangkali kerana itu ramai yang beralih kepada telur rebus biasa atau buah tangan jenis lain.

Bagaimanapun, telur pindang tetap kegemaran saya. Rasa berbunga-bunga hati apabila dapat telur pindang di majlis perkahwinan.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.