• Tips Parenting

    Buat Kerja Rumah Mengikut Usia

    Dari ruang santai, Azmina nampak saya makan roti bersapu mentega dan jem strawberi. Terus dia berlari ke meja makan dan memberitahu, “Mommy, Angah lapar lagi. Nak roti.”

    Saya suakan roti saya. Azmina menggeleng. “Nak Angah punya.”

    Saya buka plastik roti mahu mengambil roti baru untuknya. Azmina pegang tangan saya dan berkata, “Mommy, Angah buat ya.”

    Kalau ikutkan dalam hati ini, biarlah mommy sahaja yang buat. Selain daripada cepat, juga tidak berkecah atas meja ini.

    Mujurlah ada akal untuk berfikir kebaikan jangka panjang. “OK, pergi ambil pinggan dan pisau.”

    Laju Azmina membuka laci mengambil pisau menyapu mentega dan mengambil pinggan di rak.

    Memang kebanyakan barang di rumah ini disusun supaya mana-mana untuk anak itu boleh diakses sendiri oleh mereka.

    Tapi saya juga teringat rumah kawan saya yang sangat mesra kanak-kanak. Rumahnya dibina seperti separuh daripadanya adalah khusus untuk anak-anak.

    Sampaikan tandasnya pun ada dua versi. Versi yang sesuai untuk anak, dengan sinkinya yang lebih rendah, suis lampunya boleh dicapai. Paip air dan shower juga pada paras yang boleh diakses anak kecil.

    Anak berusia dua ke tiga tahun pun sudah boleh menggunakan tandas itu sendiri jika dilatih keselamatan di dalam tandas. Memang menarik.

    Anak-anak kecil banyak belajar melalui melihat. Melihat apa yang kita lakukan, lalu cuba meniru apa yang kita buat.

    Meniru adalah cara belajar yang paling mudah dan semulajadi. Tapi bila masuk ke sekolah, kalau ditangkap meniru semasa peperiksaan berat hukumannya.

    Anak-anak suka meniru gaya orang dewasa. Sebab itu antara permainan kegemaran ramai tidak kira lelaki atau perempuan adalah bermain masak-masak. Pengaruh ibu yang kuat dalam mendidik dan membesarkan anak barangkali.

    Sebenarnya boleh sahaja kita melatih anak membuat kerja-kerja sendiri mengikut kesesuaian umurnya.

    Anak satu tahun sudah boleh dilatih memasukkan baju kotornya ke dalam bakul. Juga membuang lampin kotornya ke dalam tong sampah. Atau memasukkan mainannya ke dalam kotak mainan.

    Anak usia dua tahun sudah boleh dilatih mengambil sendiri peralatan makannya. Mengutip makanan yang jatuh ke lantai selepas makan.

    Anak usia tiga tahun sudah boleh dilatih membantu menyediakan alatan untuk makan. Menyusun pinggan dan cawan. Mengemas baju-baju yang sudah dilipat ke dalam almari bajunya.

    Begitulah untuk peringkat usia seterusnya. Ada kerja-kerja rumah yang sudah boleh dilatih anak untuk buat bersama-sama.

    Melatih anak bermakna kita perlu buat bersama-sama dengan anak. Dilatih secara arahan terus. Anak melihat kita membuatnya dan dia meniru.

    “Begini kemas mainan. Letak mainan ini ke dalam bakul. Jom buat sama-sama.” Ha, begitulah.

    Bukan dengan menyuruh secara verbalnya sahaja.

    “Kemas mainan itu. Pergi buat sekarang.” Sedangkan mak sedang memasak di dapur.

    Termangu-mangu anak memikirkan bagaimana mahu kemas mainan. Maka dia akan mengemas mengikut versi dia.

    Jika itu yang berlaku, usah marah dulu. Fikir apakah silap memberi arahan. Yang selalu berlaku adalah bukan anak tidak faham arahan, kita yang mengarah memberi arahan yang tidak jelas. Lalu anak tafsirkan mengikut pemahamannya.

    Begitulah.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    Sapu sendiri mentega dan coklat. Mommy bukakan botol sahaja.

    Sudah pandai lipat selepas 2, 3, 4, 10 kali atau lebih mommy tunjukkan.

    Sedapnya roti yang dibuat sendiri.

  • Seni Ajar Membaca

    Cara Bimbing Anak Membaca

    Anak kecil hendaklah dibimbing sewaktu membaca. Duduk sebelah sewaktu dia membaca.

    Walaupun sudah tamat Buku 8 beberapa bulan yang lalu, dan sekarang sudah hampir tamat Read Easy Beginner Level, saya masih lagi menemani Afiah membaca.

    Kadang-kadang dia jumpa perkataan yang panjang dan tidak pernah ditemui. Lantas boleh menjadi salah sebutan ataupun salah fahaman.

    Sambil membaca, boleh beri kefahaman. Juga bersoal-jawab bagi meningkatkan kemahiran berfikirnya.

    Anak yang sedang belajar membaca, lagilah perlu ditemani.

    Usah biar anak membaca sedangkan ibu memasak di dapur. Walaupun bacanya sekuat hati dan ibu dapat dengar di dapur, mana yang tahu betul ke tidak dia membaca atau dia bercerita. Hihi.

    Ini kisah benar. Pernah ibu bertelagah dengan saya kerana tidak puas hati anaknya masuk ke pemulihan. Dia bertegas yang anaknya boleh membaca surat khabar.

    Saya pelik kerana anaknya tulis nama sendiri pun tidak tahu. Lagi bagaimana boleh membaca.

    Jadi saya tanyakan bagaimana sang ibu tahu anaknya boleh membaca. Dia kata setiap hari sewaktu dia memasak di dapur, dia akan menyuruh anaknya membaca suratkhabar di ruang tamu.

    Lancar sahaja katanya. Berita orang eksiden, berita orang pukul orang, berita sukan. Semuanya anak dia baca.

    Namun, dia tidak pernah duduk sebelah anak melihat anaknya membaca.

    Jadi, terus sahaja saya panggil anaknya dan berikan buku paling mudah minta anaknya baca di hadapan ibu.

    Barulah, “Oh ya ke cikgu?”

    Anak-anak yang tidak boleh membaca bukan beerti IQnya rendah. Banyak sahaja anak yang tidak boleh membaca tetapi boleh bercerita menghuraikan idea lagak Perdana Menteri.

    Dalam suratkhabar ada banyak gambar. Dalam buku cerita lagilah banyak gambar. Dapat?

    Sesekali, duduklah sebelah anak mendengar dia membaca. Baru tahu benar ke tidak.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Pendidikan Awal Kanak-kanak

    Berlatih Ragam Zapin

    Hari itu bila Afiah nampak Cikgu Masturah A. Latib buat live video Safiyyah berlatih zapin, dia tidak puas hati kenapa mommy tidak pernah upload video dia menari.

    Mommy kata ada, tapi kata dia itu ramai-ramai. Dia nak video dia seorang sahaja.

    Macam-macamlah hai anak.

    Ini mommy upload video Afiah berlatih ragam dalam zapin.

    Asalnya mommy demo pada semua anak-anak. (I do)

    Kemudian kami buat bersama-sama. (We do)

    Kemudian, anak-anak sahaja buat. (You do).

    Akhir sekali, mommy pecahkan kepada kumpulan yang diketuai oleh penari-penari senior dan minta mereka berlatih sendiri.

    Dengan cara ini, mommy dapat berehat. Hahaha.

    Eh, taklah begitu.

    Dengan cara ini,

    1. Kajian menunjukkan yang anak-anak lebih mudah belajar dengan meniru rakan sebaya.

    2. Penari-penari senior dapat dipupuk bakat kepimpinannya.

    Nah, menari bukan sekadar suka-suka lewa dan khayal mendengar muzik. Digunakan dengan betul ia banyak kebaikan.

    Menari dan muzik hanyalah satu alat. Terpulang kepada kita untuk menggunakannya.

    Begitulah.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Kisah Kejayaan

    Azmina Buat Rantaian Bunyi Buku 8

    Setiap kali dalam kelas buat aktiviti apa pun, Angah mesti nak buat juga.

    Kadang-kadang serba salah juga kerana Angah baru tiga tahun. Saya mahu dia main, main dan main.

    Tapi dia memang suka main, main dan main. Kemudian suka juga baca buku, baca kad, main dam dan segala apa aktiviti jugalah. Pada dia itu semua bermain juga barangkali.

    Kalau tidak diberi dia akan mengamuk dan menangis sepertimana kebiasaan anak yang tidak dapat gula-gula atau mainan atau handphone.

    Tapi kalau tidak dapat gula-gula, mainan atau handphone tidak pula dia mengamuk sebegini.

    Pening mommy fonik.

    Hari ni sibuk nak buat rantaian bunyi buku 8 ni. Haishh! Habis kelas layankan sahaja kejap.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Suka Makan

    Aroithai Tunamaya Spa & Resort Desaru

    Hari itu suami ada “away day” dengan koperasinya di Bandar Penawar. Saya dan anak-anakpun mengikutlah sama ke Amansari Hotel di Bandar Penawar itu.

    Selesai suami ber”away day” sebelum pulang ke Pasir Gudang, saya ajak suami mencuba Aroithai di Tunamaya Spa & Resort Desaru.

    Selalu dengar adik sahaja beriya-iya mempromosikan tempat makan ini. Katanya best, best, best. Jadi nak rasa juga apa yang bestnya.

    Depan restorannya ada sebuah bas mini lama yang diubahsuai menjadi papan tanda restoran. Cantik dan boleh ambil-ambil gambar gitu.

    Di bahagian hadapan restoran ada ruangan beranda yang luas, di bawah pohon-pohon kayu yang rimbun. Ada meja-meja makan di sini. Ramai orang memilih untuk makan di luar ini kerana boleh merasai suasana damai macam kat kampung sambil ditiup angin-angin laut sepoi-sepoi bahasa.

    Tapi memandangkan saya datang dengan anak kecil dan jam sudah menghampiri 6 petang, kami memilih untuk makan di dalam restoran. Ada aircond sepoi-sepoi bahasa juga. Hihi.

    Pilihan makanan di sini ringkas sahaja, tidaklah sampai rasa pening nak memilih. Boleh rujuk gambar menu. Bagi setiap jenis makanan ada 5-6 pilihan sahaja.

    Cara membuat pesanan adalah self-service. Tulis atas kertas berapa banyak yang kita nak, kemudian panggil pelayannya datang ambil pesanan.

    Setiap makanan diisi dalam mangkuk-mangkuk kecil yang berharga cuma RM1.90 sahaja. Pilihan minuman juga dalam cawan-cawan kecil tetapi berharga RM3.90 setiap satu.

    Saya pilih beberapa jenis makanan yang saya jangkakan kami akan suka dan kongsi sahaja makan satu keluarga.

    Kebanyakan makanan thai adalah pedas-pedas, jadi kalau anak yang tidak makan pedas itu kurang sesuai makan di sini.

    Kepak ayam goreng thai menjadi kesukaan saya manakala suami dan anak-anak suka makan beef glass noodle soup. Inilah dua makanan yang kami tambah pesan.

    Ada juga nasi telur dadar stail thai. Yang ini pun sedap juga. Nasi putih, sedikit telur dadar dan dituangkan sos thai yang manis-manis pedas tu. Senang sahaja boleh cuba buat di rumah. Hihi.

    Untuk minuman kami mencuba jus kelapa, jus buah markisa dan jus serai. Semuanya sedap-sedap belaka.

    Kasihan Isyraq kerana tiada pilihan makanan untuknya. Jadi kami pun tidak duduk lama-lama di sini.

    Rancangan televisyen menayangkan filem-filem Thai dan radio juga memainkan lagu-lagu Thai.

    Pekerjanya pula bukan orang tempatan tetapi bukan orang Thai. Kurang faham cakap Inggeris apatah lagi bahasa Melayu. Bengang juga apabila lain yang diminta lain yang sampai. Dan juga kena mengulang cakap beberapa kali.

    Gaya makan di sini ala-ala hipster agaknya. Ramai orang muda-muda yang makan sampai bertingket-tingket mangkuknya.

    Nampak murah RM1.90 tapi kalau dah 10 mangkuk, jadi RM19.00 juga. Maka murah bukanlah satu sebab untuk makan di sini.

    Bagaimanapun jika nak menikmati makanan thai dan bertukar selera sedikit bolehlah mencubanya. Walaupun saya tidaklah tahu sejauhmana benarnya rasa Thainya kerana saya belum pernah sampai ke Thailand.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Homeschooling

    Menyusun Puzzle Membina Kreativiti

    Hari itu kami buat puzzle dinosaur. Buat sendiri jer. Cepat, mudah dan murah.

    Nah, itu tema bbm cikgumommy.

    “Cepat, mudah dan murah!”

    Seronok tengok anak-anak ini susun puzzle yang empat keping cuma itu. Macam-macam hasilnya.

    Bermain puzzle ini nampak macam biasa-biasa sahaja kan.

    Tapi ia memberi kesan kepada perkembangan otak anak.

    Menyusun dan bermain puzzle mencabar ketangkasan, penaakulan spatial dan logik anak. Otak kiri dan kanan perlu bekerja pada masa yang sama.

    Bahagian kreatif otak perlu bekerja membayangkan puzzle yang telah siap (hasil akhir) manakala bahagian logik otak perlu memadankan kepingan-kepingan puzzle yang betul dan sempurna.

    Bermain puzzle adalah langkah awal dalam membentuk pemikiran anak yang kreatif dan kritis.

    Langkah-langkah aktiviti seperti berikut:

    1. Cari gambar dianosaur yang comel kat google. Download dan print saiz A4.

    2. Gunakan pembaris untuk bahagi 4 dinosaur tu.

    3. Ajak anak-anak mewarnakan dinosaur itu ikut kreativiti masing-masing.

    4. Potong ikut garisan empat tadi.

    5. Tampal semula pada kertas lukisan.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Pendidikan Awal Kanak-kanak

    Tanda Awal Rabun Dan Silau

    Hari ini saya lihat Phonicsmarty A mendekatkan lagi mukanya ke buku di atas meja. Sudah macam nak masuk ke dalam buku sahaja lagaknya.

    Sesekali dia menggosok-gosok matanya yang ternyata tidak gatal. Dia memandang saya dengan ekspresi muka meminta cikgu mengesahkan bacaannya.

    Saya senyum. Saya letak tangan di atas buku yang sedang Phonicsmarty A baca.

    “A, cuba awak duduk tegak-tegak macam cikgu.”

    Phonicsmarty A akur dan duduk tegak.

    “Sekarang awak tengok sini,” jari saya menunjuk ke bunyi /d/ pada buku, “awak nampak ini?”

    “Nampak.”

    “Apa yang awak nampak?”

    “Bunyi /d/“

    “Terang?”

    “Terang sikit sahaja”.

    Saya terus mencapai handphone dan menghantar whatsapps pada ibunya. Memaklumkan perihal anaknya dan meminta ibunya membawa Phonicsmarty A menjalani pemeriksaan mata dengan segera.

    Rabun atau silau adalah salah satu punca utama yang selalu menjadi gangguan kepada anak untuk belajar.

    Seringkali terjadi anak tiadapun masalah kognitif tetapi gagal dalam peperiksaan kerana rabun dan silau.

    Penglihatan berkait rapat dengan pendengaran.

    Bayangkan jika anak gagal melihat dengan jelas wajah guru dihadapan kelas, gagal melihat pergerakan bibir mahupun memek muka guru, hampir secara automatik juga dia akan kurang memahami apa yang disampaikan oleh guru.

    Jadi sentiasalah peka jika anak mempunyai masalah rabun atau silau.

    Antara tanda-tanda awal anak ada masalah penglihatan adalah:

    1. Mengecilkan matanya ( cuba fokus) apabila melihat sesuatu yang jauh.

    2. Mendekatkan muka ke buku apabila membaca buku.

    3. Sering menggosok-gosok mata apabila melihat atau membaca buku seolah-olah sedang cuba membersihkan matanya

    4. Kerap mengadu sakit kepala

    Jika anak ada tanda-tanda tersebut, bawalah anak menjalani pemeriksaan mata dengan segera.

    Walaupun ada banyak kedai optometri yang menawarkan pemeriksaan mata percuma, saya cadangkan untuk anak yang berusia bawah 12 tahun menjalani pemeriksaan mata di hospital.

    Pergi ke mana-mana pusat kesihatan dan minta rujukan untuk ke hospital.

    Doktor pakar mata akan membuat pemeriksaan yang terperinci dan memberi cadangan yang sesuai untuk mengatasi masalah mata anak.

    Semoga perkongsian ini bermanfaat.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Homeschooling

    Resepi Slime Tanpa Borax

    Akhirnya hari ini saya tunaikan permintaan Afiah nak membuat slime selepas lebih setahun dia memintanya.

    Bukannya apa kebanyakan resepi slime yang ada menggunakan bahan pencuci pakaian yang kuat, sabun pencuci pinggan yang kuat juga, bahkan ada juga yang menggunakan boraks sebagai bahan utama dalam pembuatannya.

    Selepas melihat beberapa video dan laporan kes yang menunjukkan tangan anak “terbakar” akibat terlalu lama bermain dengan slime yang dibuat dengan resepi bahan-bahan aktif sedemikian, saya tangguhkan sahaja.

    Tetapi bila jumpa resepi yang dikongsikan oleh Mama Q3 hari tu tidak menggunakan bahan-bahan aktif sedemikian, saya putuskan untuk mencubanya.

    Kami membuatnya dalam kelas persediaan. Seminggu sekali kelas ini dah macam playgroup dek kesukaran nak mengajak anak-anak ini berinteraksi.

    Bila buat macam playgrup ini, mereka lebih aktif dan teruja. Mahu berbual-bual dan berkomunikasi.

    Seronok sakanlah budak-budak ini dapat membuat slime dan bermain sampai bertukar warna biru tangan masing-masing.

    Tapi saya gunakan pewarna makanan sahaja jadi warna biru tu hilang bila dicuci dengan air dan sabun. InsyaAllah.

    Slime yang dibuat tanpa slime agent activator ini tidak bertahan lama. Pendek kata setiap kali nak main kena bancuh yang baru.

    Tapi bolehlah memenuhi hajat nak memberikan anak-anak permainan sensori kan. Dapat juga hampir sejam lebih bermain dengannya.

    Kami cuba pelbagai jenis gam. Gam yang murah-murah kurang RM1 sebotol kecil tu langsung tidak jadi ya.

    Guna gam putih atau susu tu menjadi juga tetapi tidak bertahan lama. Sekejap sahaja sudah keras dan tidak elastik. Selain itu ia juga tidak bergumpal.

    Kena pilih gam yang berkualiti untuk membuatnya.

    Berikut adalah bahan-bahannya:

    1 bekas bikarbonat soda

    1 bekas gam berkualiti

    250ml air panas

    Pewarna makanan

    Cara membuat ada pada gambar ya.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    Bicarbonate soda. 1 botol untuk 1 bancuhan slime.

    Gam putih yang kiri sekali tu hasilnya tidak bergumpal. Gam dua kecik tengah tu tak jadi langsung. Gam yang kanan tu jadi dengan cantik.

    Pewarna makanan yang lebih banyak digunakan untuk membuat eksperimen daripada membuat kuih.

    Kacau bicarbonat soda dengan air panas dahulu.

    Campurkan pewarna makanan dengan gam.

    Tangan dah macam the avatar. Yang sebelah kiri atas meja tu slime yang menjadi. Yang sedang dikacau itu slime dengan gam murah. Tak jadi.

    Bolehlah dicuba slime yang dibuat itu.

  • Suka Makan

    Jus Anti Dot

    Hari itu bila saya jumpa kawan saya yang seorang ini selepas agak lama juga tidak jumpa, saya sangat teruja melihat dia.

    Kawan saya ni pejuang kanser payudara. Semasa beliau didiagnosis menghidap penyakit ini beliau sedang mengandung 16 minggu.

    Beliau perlu lalui kimoterapi, radioterapi dan scan. Sedang mengandung. Aduh duh duh.

    Tapi bila saya jumpa beliau hari itu keadaan beliau lain sekali. Kulit beliau kelihatan sangat sihat, dengan merah-merah di pipi walaupun rasanya tidaklah bermekap sakan.

    Terus saya tanyakan apa yang beliau buat.

    Tanpa berselindung dan berahsia beliau kongsikan resepi jus buah-buahan yang beliau amalkan semenjak beliau didiagnosiskan menghidap kanser.

    Beliau memang berkelulusan dalam bidang teknologi makanan dan pernah bekerja dalam industri makanan.

    Jadi, saya yang teruja nak rasa tetapi malas nak buat ni teruslah tanya, “ada jual?” Hahaha.

    Beliau kata, “akak nak saya buatkan. Berapa nak?”

    Wah, ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Tapi saya tak berani nak order banyak sebab salah satu bahan yang digunakan adalah ubi bit.

    Ahaks, saya pernah rasa ubi bit. Sangatlah tidak menggemarinya walaupun saya tahu ianya sangat berkhasiat.

    Saya pesan 3 botol. Sebotol minum sehari. Mula-mula takut nak minum. Tapi lepas dah minum, walla.

    Taklah teruk sangat pun rasa ubi bit tu. Lagipun ada juga campuran buah kegemaran saya iaitu nanas.

    Kemudian saya pesan lagi. Dan lagi. Hihi.

    Kadang-kadang saya terajin buat sendiri. Kalau terajin lah. Selalunya tidak begitu rajin.

    Campuran buah-buahan dan sayur-sayuran dalam Jus Anti Dot ini termasuk dalam kategori superfood. Pendek kata memang baguslah untuk kesihatan.

    Bukan untuk orang yang sakit sahaja, yang sihat pun digalakkan minum.

    Mencegah lebih baik daripada mengubati.

    Maklumat lanjut ada pada gambar ya atau pm terus kawan saya ni, Chempaka Hafizatul Aleeza.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    Buah-buahan yang digunakan

    Salam ukhuwah sahabat semua😍🤝…nak tau tak,kenapa korang kene ambil ANTIDOT sebagai supplement harian korang yang mementingkan kesihatan💪🏼..ok!!!nak cite apa hebat sangat ANTIDOT ni…

    ANTIDOT 🌡ni adalah jus yg diamalkan oleh seorang servivor kanser🎗 dari mula di dignose kanser payudara tahap 3C semasa itu kanser servivor ini mengandung 16 minggu..bermula dr saat itu SK🎗 itu pun mencipta suatu makanan yg terbaik yg dikategorikan sebagai superfood utk kesihatan baby dalam perut dan menjaga imun badan SK🎗 semasa kimo,radio dan scan… alhamdulillah sedikit latarbelakang masa belajar dulu dalam bidang teknologi makanan📚👩🏼‍🎓 dan bekerja di makmal dlm industri makanan👩🏼‍🔬…sedikit ilmu tetang pemakanan SK 🎗 kongsikan didalam jus ANTIDOT ini..

    👉🏼Siapa yang perlu ambil ANTIDOT 🌡…

    👨‍👩‍👧‍👦👴🏼👵🏼 lelaki dan perempuan tua muda serta anak2 yg berumur 3 tahun keatas yg mementingkan kesihatan utk menjaga imun badan sama ada yg sihat mahu pun yg sedang sakit perlu ambil ANTIDOT 🌡ni..

    👍🏼Apa pulak kebaikan ANTIDOT🌡 ni????

    📌Campuran buah-buahan dan sayur-sayuran 🍏🥒🍠🍋🍅🍍🍇 yang termasuk dalam kategori SUPERFOOD.

    📌 tinggi kandungan antioksida utk menghalang radikal bebas…so mean boleh detoks badan

    📌 banyak nutrisi yg diperlukan oleh badan utk menjaga imun tubuh seperti vitamin c ,vit b1,b2,b3,folate,kalsium,betakaroten,fosfor,lycopine,

    📌melancarkan sistem pencernaan dan kandungan nitrat akan membantu menjaga jantung serta membantu menurunkan tekanan darah

    📌menurunkan kandungan gula dalam darah

    📌Fosfor pula membantu memperkuatkan tulang, gigi, rambut

    📌 menurunkan kadar kolestrol dlm darah

    📌kandungan protein dan kompenen penting DNA dab RNA membantu melambatkan proses penuaan dan merawat kulit( untuk kecantikan)

    📌Baik utk sesiapa yg merokok🚬

    📌📌banyak lagi kebaikan jus ANTIDOT ni..nak tau boleh pm SK🎗 tau..

    😍insyallah pada anda semua yang mengamalkan pengambilan jus ANTIDOT🌡 dengan betul..pasti akan merasai perbezaan pada tubuh badan…💪🏼💪🏼💪🏼

    😃100% bahan semulajadi sayur dan buah yang terpilih

    👎🏼tiada tambahan gula atau pemanis

    👎🏼tiada bahan pengawet

    sedap dinikmati ketika sejuk…🍹

    perlu disimpan ditempat sejuk dan beku

    🤓utk COD pembelian perlu dibuat 3 botol keatas !!!!

    Nak tau lebih banyak lagi kebaikan jus ANTIDOT dan nk tau banyak pengalaman SK🎗 cepat2 PM 📞no dibawah ok…😍😍😍

    PERTANYAAN ATAU ORDER boleh PM atau WATSUP nombor ejen yang berdekatan📞📞

    www.wasap.my/60174222254 (fiza – pengasas)

    www.wasap.my/0107003024 (teacher hidayah -jb)

    www.wasap.my/60178411689 (norein -pasir gudang)

    www.wasap.my/60197998564 (liana – skudai)

    www.wasap.my/60124944481 (cikgu anita – pontian)

  • Personal Development

    Refleksi Diri 2 – 14 Oktober 2017

    Hari ini berada di Hotel Aman Sari, Bandar Penawar Kota Tinggi. Struggle nak buat video refleksi diri ini sambil melayan anak yang bertiga ini.

    Selalu dengar orang cakap rezeki tidak pernah salah alamat. Kadang-kadang kita minta lain, lain yang tuhan hantar.

    Ini semua ada kaitan dengan apa yang berlaku pada saya dan anak-anak minggu ini.

    Selamat bercuti sekolah, selamat berhujung minggu, selamat menyambut Deepavali.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Suka Makan

    Daging Salai Dan Pucuk Paku Masak Lemak

    Hari ini nak masak daging salai yang dah lama beli dari Nazrin. Ini original daging salai beli dari Negeri Sembilan. RM10 satu pek 170 gram.

    Kemudian saya ke Kota Masai. Di kawasan Marry Brown sana saya perasan ada beberapa gerai yang menjual pelbagai jenis ulam-ulaman.

    Ada satu gerai milik wanita sarawak yang menjual pucuk paku, labu sarawak, pucuk labu dan pelbagai ulaman.

    Saya pilih untuk mencampurkan pucuk paku dengan daging salai kali ini.

    Ini kali pertama saya memasak daging salai. Hihi.

    Buka plastik daging salai tu, aromanya memang menggoda. Saya baca resepi di google rata-rata semuanya kata kena rebus dahulu daging salai ini kerana masih liat dan keras.

    Saya pun menghiris daging salai ini kecil-kecil sebagai persediaan merebusnya. Tidak tahan dengan aromanya yang smokey tu saya mengambil satu untuk merasanya.

    Eh, lembut sahaja dagingnya. Ini makan dengan cicah air asam pun sedap ini.

    Jadi tukar plan, sedikit sahaja daging salai dimasukkan ke dalam lemak pucuk paku, selebihnya makan begitu sahaja.

    Bahan-bahan untuk masak lemak adalah:

    • pucuk paku

    • daging salai

    • cili api ditumbuk

    • santan

    • halia

    • kunyit

    • serai

    • asam keping

    Cara memasak ada dalam gambar ya.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    Daging lembu salai yang aroma memikat selera

    Potong daging kecil dan nipis

    Siang pucuk paku dan masukkan dalam besen hijau

    Oleh kerana saya jarang memasak, bahan-bahan seperti serai, kunyit dan halia saya gunakan yang dah dikisar sahaja. Lebih tahan lama untuk disimpan.

    Tumbuk cili api ikut kepedasan yang mahu.

    Masukkan semuanya dalam periuk kecuali pucuk paku.

    Rebus dahulu sehingga sebati.

    Masukkan pucuk paku setelah mendidih.

    Masukkan asam keping.

    Akhir sekali masukkan santan kotak cap kara.

    Siap dalam periuk. Perasakan dengan garam dan gula kalau korang suka.

    Dah, jom makan pucuk paku dan daging salai masak lemak.