Cara Bimbing Anak Membaca

Anak kecil hendaklah dibimbing sewaktu membaca. Duduk sebelah sewaktu dia membaca.

Walaupun sudah tamat Buku 8 beberapa bulan yang lalu, dan sekarang sudah hampir tamat Read Easy Beginner Level, saya masih lagi menemani Afiah membaca.

Kadang-kadang dia jumpa perkataan yang panjang dan tidak pernah ditemui. Lantas boleh menjadi salah sebutan ataupun salah fahaman.

Sambil membaca, boleh beri kefahaman. Juga bersoal-jawab bagi meningkatkan kemahiran berfikirnya.

Anak yang sedang belajar membaca, lagilah perlu ditemani.

Usah biar anak membaca sedangkan ibu memasak di dapur. Walaupun bacanya sekuat hati dan ibu dapat dengar di dapur, mana yang tahu betul ke tidak dia membaca atau dia bercerita. Hihi.

Ini kisah benar. Pernah ibu bertelagah dengan saya kerana tidak puas hati anaknya masuk ke pemulihan. Dia bertegas yang anaknya boleh membaca surat khabar.

Saya pelik kerana anaknya tulis nama sendiri pun tidak tahu. Lagi bagaimana boleh membaca.

Jadi saya tanyakan bagaimana sang ibu tahu anaknya boleh membaca. Dia kata setiap hari sewaktu dia memasak di dapur, dia akan menyuruh anaknya membaca suratkhabar di ruang tamu.

Lancar sahaja katanya. Berita orang eksiden, berita orang pukul orang, berita sukan. Semuanya anak dia baca.

Namun, dia tidak pernah duduk sebelah anak melihat anaknya membaca.

Jadi, terus sahaja saya panggil anaknya dan berikan buku paling mudah minta anaknya baca di hadapan ibu.

Barulah, “Oh ya ke cikgu?”

Anak-anak yang tidak boleh membaca bukan beerti IQnya rendah. Banyak sahaja anak yang tidak boleh membaca tetapi boleh bercerita menghuraikan idea lagak Perdana Menteri.

Dalam suratkhabar ada banyak gambar. Dalam buku cerita lagilah banyak gambar. Dapat?

Sesekali, duduklah sebelah anak mendengar dia membaca. Baru tahu benar ke tidak.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Tanda Awal Rabun Dan Silau

Hari ini saya lihat Phonicsmarty A mendekatkan lagi mukanya ke buku di atas meja. Sudah macam nak masuk ke dalam buku sahaja lagaknya.

Sesekali dia menggosok-gosok matanya yang ternyata tidak gatal. Dia memandang saya dengan ekspresi muka meminta cikgu mengesahkan bacaannya.

Saya senyum. Saya letak tangan di atas buku yang sedang Phonicsmarty A baca.

“A, cuba awak duduk tegak-tegak macam cikgu.”

Phonicsmarty A akur dan duduk tegak.

“Sekarang awak tengok sini,” jari saya menunjuk ke bunyi /d/ pada buku, “awak nampak ini?”

“Nampak.”

“Apa yang awak nampak?”

“Bunyi /d/“

“Terang?”

“Terang sikit sahaja”.

Saya terus mencapai handphone dan menghantar whatsapps pada ibunya. Memaklumkan perihal anaknya dan meminta ibunya membawa Phonicsmarty A menjalani pemeriksaan mata dengan segera.

Rabun atau silau adalah salah satu punca utama yang selalu menjadi gangguan kepada anak untuk belajar.

Seringkali terjadi anak tiadapun masalah kognitif tetapi gagal dalam peperiksaan kerana rabun dan silau.

Penglihatan berkait rapat dengan pendengaran.

Bayangkan jika anak gagal melihat dengan jelas wajah guru dihadapan kelas, gagal melihat pergerakan bibir mahupun memek muka guru, hampir secara automatik juga dia akan kurang memahami apa yang disampaikan oleh guru.

Jadi sentiasalah peka jika anak mempunyai masalah rabun atau silau.

Antara tanda-tanda awal anak ada masalah penglihatan adalah:

1. Mengecilkan matanya ( cuba fokus) apabila melihat sesuatu yang jauh.

2. Mendekatkan muka ke buku apabila membaca buku.

3. Sering menggosok-gosok mata apabila melihat atau membaca buku seolah-olah sedang cuba membersihkan matanya

4. Kerap mengadu sakit kepala

Jika anak ada tanda-tanda tersebut, bawalah anak menjalani pemeriksaan mata dengan segera.

Walaupun ada banyak kedai optometri yang menawarkan pemeriksaan mata percuma, saya cadangkan untuk anak yang berusia bawah 12 tahun menjalani pemeriksaan mata di hospital.

Pergi ke mana-mana pusat kesihatan dan minta rujukan untuk ke hospital.

Doktor pakar mata akan membuat pemeriksaan yang terperinci dan memberi cadangan yang sesuai untuk mengatasi masalah mata anak.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Bersyukur Sentiasa

Pagi ini saya bangun kerana tidak selesa dihimpit dari kiri dan kanan. Kaki Azmina terselit dibawah pinggang saya.

Bukan kali pertama, memang hampir setiap hari begitulah. Tidak kira samada Afiah atau Azmina, jika tidur di sebelah saya pasti menghimpit walaupun ruang di sebelah sana masih lagi luas.

Agaknya memang begitu anak yang co-sleeping dengan ibu ya?

Kaki terselit itu bukan kerana saya tertindih, tetapi kerana mereka dengan sengajanya akan memasukkan kaki dibawah badan saya. Mungkin kerana sejuk (walhal pakai selimut) atau mungkin kerana rasa lebih selamat.

Dulu masa mula-mula melahirkan Afiah, kakak saya beri baby-cot. Jadi tidurkan Afiah di baby-cot. Tapi tidak pernah berjaya. Paling lama tidurnya satu jam kemudian sudah mula resah berbunyi itu dan ini.

Selalunya Abah tidur berdiri atau tidur duduk di kerusi menggosok Afiah. Akhirnya saya ambil saja tidur di sebelah saya. Lebih lena tidurnya. Tetapi saya pula yang hilang lena tidur.

Begitulah bila co-sleeping dengan bayi. Sudah enam tahun, saya lupa bila kali terakhir tidur lena 8 jam sepanjang malam. Barangkali sebelum mengandungkan Afiah agaknya.

Co-sleeping sebenarnya memberi banyak manfaat kepada bayi. Terdapat kajian yang mengatakan otak bayi membesar dan berhubung dengan lebih baik. Ritma jantung bayi juga lebih stabil dan tenang. Wallahuallam.

Tetapi ianya juga berisiko tinggi seperti bayi tertindih dengan bantal, selimut bahkan oleh ibu bapa sendiri.

Kerana risiko-risiko itulah tidur saya tidak lena. Sekejap-sekejap bangun cek pernafasan bayi. Hihi.

Siapa lagi ibu yang juga sejam sekali cek pernafasan bayi macam saya?

Bagaimanapun, bersyukur kerana enam tahun ini juga dalam pada tidur yang tidak lena ini, saya dikurniakan tiga anak. Yang comel-comel, yang cantik-cantik dan yang cerdik-cerdik. Alhamdulillah.

Sebenarnya dalam kehidupan ini, jika kita mahu mencari perkara yang buruk dan tidak kena dalam hidup kita memang mudah sahaja jumpa.

Duit tidak ada. Gaji sikit. Jawatan rendah. Jadi kuli. Rumah kecil. Suami tidak kaya. Sudah lama tidak bercuti. Tidak pernah pergi luar negara. Kereta sudah lama. Anak belum ada. Sudah berusia belum berumahtangga.

Aduh, kalau mahu komplen sahaja sudah berjela-jela senarainya.

Sebaliknya, jika kita mencari perkara yang baik-baik dan patut disyukuri dalam hidup kita, juga pasti jumpa banyak.

Jiran-jiran suka beri makanan. Boleh pulang awal kerja. Tidak perlu bekerja hujung minggu. Suami menolong basuh baju, sidai baju, lipat baju, simpan baju. Rakan sekerja sentiasa bertanya khabar. Ada anak-anak yang ceria. Ada suami tempat mengadu segala.

Dan macam-macam lagi.

Cuma terpulang kepada kita mahu lihat ke arah mana.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Phonicsmarty Z dan Cermin Mata

Malam ini Phonicsmarty Z datang memakai cermin mata.

Sedari menjalani testkit lagi saya telah perasan yang Z ada masalah mata. Bila diajukan pada ibu bapanya mereka kata Z memang ada cermin mata tetapi enggan memakainya.

Sebab utama Z tidak mahu memakai cermin mata ke tadikanya adalah kerana sering diejek oleh rakan-rakan.

Mereka memanggilnya dengan pelbagai nama yang tidak digemari oleh Z.

Anak-anak sekecil 5 ke 6 tahun sudah tahu mengejek-ejek dan memberi nama gelaran.

Salah siapakah?

Adakah bila anak kita membuat perkara sebegini lantas kita cepat sahaja menyalahkan pengaruh rakan sebaya.

Pernahkah kita fikir rakan sebayanya itu juga sama usia dengan anak kita, kecil, muda. Dari mana mereka belajar?

Kita rasa kita dah cukup menjaga tutur kata dan perlakuan.

Tapi kita tidak perasaan.

Melihat bayi yang macam Isyraq, ada sahaja yang memanggilnya “mok, bam bam, kuss semangat” dan pelbagai gelaran lain yang sebenarnya tanpa sedar ianya bersifat ejekan.

Kita rasa comel mengejek bayi sebegitu. Kita rasa “alah, manalah bayi itu faham. Tidak berbekas kepadanya.”

Siapa kata bayi tidak faham?

Itu belum lagi termasuk apabila kita mengata “nakalnya” kepada kanak-kanak kecil.

Atau degilnya?

Bukankah kata-kata itu suatu doa.

Berhati-hatilah dengan apa yang kita ucapkan, samada di hadapan anak atau tanpa kehadiran anak.

Mereka ada deria ke-enam untuk mengesannya.

Lantas ia membawa kembali persoalan dari siapa agaknya anak-anak kecil ini belajar mengejek?

Rakan sebaya atau orang dewasa.

Semoga Phonicsmarty Z konsisten memakai cermin matanya.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Sama Tak?

Hari ini Angah ikut Kakak ke kelas Seni Visual dengan Ticer Zaira Ara. Setiap kali kelas pun Angah ikut. Hihi.

Tapi hari ni agak istimewa sebab Angah balik dan pegang lukisan ini sambil tanya pada mommy, “Mommy, sama tak?”

Hahaha. Tak samalah sayang. Manakan sama anak mommy dengan monyet itu.

Begitulah anak-anak.

Apabila mereka dapat menyempurnakan sesuatu aktiviti mereka sukakan pujian.

Siapa yang tidak sukakan pujian? Orang dewasa pun gilakan pujian. Kalau tidak, tidaklah berebut-rebut mahu jadi yang nombor satu.

Sebagai ibu, setiap kali anak melakukan aktiviti saya akan hargai usahanya. Bukan hasilnya.

Mommy suka Angah nak ikut kakak pergi kelas seni (walaupun Ticer terpaksa sahaja terima sebab bila Angah dah turun kereta Angah tidak mahu balik).

Mommy bangga Angah mewarnakan monyet ini sendiri (walaupun rasanya tidak ikut skema warna yang Ticer beri).

Mommy sayang Angah.

Penghargaan membuatkan seseorang merasa kepunyaan. Merasa dirinya penting dan dihormati.

Penghargaan tidak memerlukan hadiah yang mahal-mahal beratus ribu. Juga tidak memerlukan majlis besar-besaran dengan jemputan dif-dif kehormat.

Mari hargai usaha anak-anak kita, kecil atau besar, hargailah usaha mereka.

Penghargaan membina keyakinan diri.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy belajar menghargai

Benefits of Bay-led Weaning

Isyraq memerhatikan potongan buah naga di hadapannya dengan penuh asyik. Dia menolak potongan buah tersebut dengan jarinya.

Sejuk. Barangkali itu dalam fikirannya berdasarkan reaksi pada wajahnya. Mommy baru keluarkan buah naga itu dari peti ais.

Isyraq cuba memegang buah naga dengan tangan kanannya. Licin. Terlepas.

Isyraq mengangkat buah naga dengan mengepitnya menggunakan kedua-dua tangan kanan dan kiri. Mommy menepuk tangan gembira, memberi semangat kepada Isyraq.

Isyraq jeling mommy. Apa nak buat dengan benda merah ini? Barangkali itu dalam fikirannya.

Cium dulu. Isyraq letak berdekatan dengan hidung. Wangi. Agaknya itulah dalam fikirannya.

Isyraq lihat mommy senyum. OK, saya buat betul. Apa lagi nak buat?

Dan seperti kebanyakan bayi lain, deria seterusnya adalah merasa dengan lidah.

Isyraq masukkan dalam mulut. Terkenyit-kenyit matanya. Buah naga sedikit masam. Terus diletakkan semula atas dulang makanan. Mommy masih senyum sambil tepuk tangan.

Isyraq memicit-micit buah naga menjadi ketulan-ketulan kecil. Lembut. Mushy. Isyraq mengangkat tinggi tangannya yang memegang buah naga lalu meletakkannya di tepi kerusi.

Yeah! Buah naga jatuh atas lantai. Mommy cepat-cepat tunduk mengutip buah naga yang jatuh di atas lantai. Lantas Isyraq cepat-cepat juga cuba memegang kepala mommy.

Opppss! No no Isyraq. Jangan pegang kepala mommy dengan tangan yang kotor.

Begitulah keadaan “main kotor” yang berlaku dalam baby-led weaning.

Hari itu saya risau juga, eh, saya jarang sekali membenarkan anak-anak saya bermain kotor (messy play). Tapi bila fikir-fikir semula, dalam baby-led weaning (BLW) ini anak dapat peluang bermain kotor.

Dalam BLW, anak mendapat peluang untuk mencuba makanan sendiri. Sesi makan menjadi lebih menyeronokkan kerana setiap orang memainkan peranan aktif.

Anak mengawal sendiri apa yang hendak dimakan, banyak mana, berapa laju dan belajar tentang jenis-jenis makanan serta melakukannya sendiri.

Secara naturalnya, bayi telah diprogramkan untuk meneroka dan membuat eksperimen untuk belajar tentang kehidupan. Mereka menggunakan tangan dan mulut sebagai makmal untuk mengetahui tentang pelbagai jenis objek termasuklah makanan.

Melalui BLW, bayi mengetahui tentang rupa, bau, rasa dan tekstur pelbagai jenis makanan. Bayi juga berpeluang mengendalikan makanan dan mencuba rasa makanan yang telah dicampurkan.

Ohhh, saya memang masih ingat bagaimana Afiah dan Azmina (secara berbeza masa) akan mencampurkan segala makanan dan minuman dalam satu bekas dan memakannya. Haru, mommy dan abah geleng kepala sahaja. Tetapi mereka makan sehingga habis.

Walaupun nampak seperti bermain, hakikatnya dalam dunia bayi mereka tidak pernah bermain. Segala apa yang mereka lakukan adalah sentiasa belajar.

Dan kebanyakan perkara yang boleh mereka pelajari melalui permainan pendidikan terbaik (dan termahal) boleh dipelajari dengan mengendalikan makanan.

Contohnya, bayi dapat belajar bagaimana memegang sesuatu yang lembut tanpa memecahkannya atau memegang sesuatu yang licin tanpa menjatuhkannya.

Dan konsep-konsep seperti lebih sedikit, lebih banyak, saiz, bentuk, berat dan tekstur juga dapat dipelajari semasa makan.

Dengan menggunakan keseluruhan deria mereka (melihat, menyentuh, mendengar, bau dan merasa), bayi dapat mengaitkan semua perkara ini antara satu sama lain dan lebih memahami tentang dunia besar sekeliling mereka.

Menyuap makanan sendiri memberi peluang kepada bayi berlatih aspek penting dalam perkembangan diri.

Sewaktu menggunakan jari untuk memasukkan makanan ke mulut bermakna mereka berlatih koordinasi mata dan tangan, menggenggam makanan pelbagai saiz dan tekstur beberapa kali sehari pula meningkatkan kecekapan mereka.

Mengunyah sendiri makanan pejal akan menguatkan otot-otot muka yang membantu mereka belajar bercakap kelak.

Cuma satu yang ibu ayah perlu bertahan, kotor dan bersepah. Hihi.

Tapi jangan bimbang kerana bagi kebanyakan bayi, masalah kotor dan bersepah ini hanya mengambil sedikit masa. Dua ke tiga bulan sahaja. Dan lagi, sebenarnya juga ada tips dan trik untuk menguruskan masalah kotor dan bersepah ini.

Yang lebih penting adalah bayi mendapat pelbagai manfaat melalui BLW.

Selamat menjamu selera.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy suka praktis baby-led weaning

Penafian:

Saya bukan pakar kanak-kanak mahupun pakar keibubapaan.

Aksi Asosiasi Untuk Buku 1 dan 2 Bacalah Anakku

Asosiasi aksi adalah sangat penting dalam membantu anak mengingat bunyi dengan lebih mudah. Ianya mestilah bermakna dan dibuat dengan penuh emosi.

Dalam video ini, saya kongsikan aksi asosiasi untuk bunyi-bunyi dalam buku 1 dan 2 Bacalah Anakku. Buatlah dengan berlebih-lebihan (over-exaggerated).

Semoga bermanfaat. Boleh share, tidak perlu tanya.

Video dimodelkan oleh Afiah dan Azmina.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Baca Buku Cerita

Jika ada satu perkara yang boleh saya syorkan kepada ibu bapa untuk buat setiap hari dengan anak, adalah membaca buku cerita kepada mereka.

Satu cerita sehari sekurang-kurangnya. Tiga ke lima minit sudah memadai.

Jika menggunakan buku, pilih buku yang ada gambar. Gunakan jari untuk menunjuk kepada perkataan yang dibaca.

Bersoal-jawablah tentang gambar-gambar dalam buku cerita tersebut.

Tema apa pun boleh.

Boleh diulang cerita yang sama selagi anak suka dan tidak jemu.

Lebih baik lagi, beri anak peluang untuk memilih cerita kegemarannya.

Bacalah, walau ibu ayah sudah penat mengulang cerita yang sama saban hari.

Selamat malam!

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy suka bedtime stories

P.s.: Saya pernah mengulang cerita Cinderelaa selama lebih tiga bulan, setiap malam dengan Afiah.