Pendaftaran Kelas Membaca Bacalah Anakku Bulan November 2017

Pendaftaran kelas membaca dibuka sekarang. Boleh berusia dari 5 tahun, 6 tahun, 7 tahun, 8 tahun, 9 tahun. Asalkan belum boleh membaca atau membaca merangkak-rangkak tidak lancar, boleh daftar.

Kelas diadakan 3 kali seminggu iaitu pada hari Ahad, Selasa dan Khamis. Tempoh setiap kelas cuma 45 minit sahaja. Pendek tetapi padat dengan aktiviti bermain sambil belajar.

Ada dua masa yang dibuka iaitu 8 malam dan 9 malam. Tapi kalian tidak dibenarkan memilih kerana saya yang akan tentukan mengikut kesesuaian anak kalian dalam kumpulan. Tidak sesuailah kalau kita nak bagi anak 5 tahun belajar dengan yang 9 tahun kan.

Untuk anak-anak yang telah bersedia untuk belajar, maknanya sudah boleh faham arahan, sudah boleh pegang pensel, sudah boleh menggunting, dan juga tiada masalah pembelajaran, dianggarkan boleh tamat kelas membaca dalam 48 sesi bersemuka.

Dengan izin Tuhan, mereka pasti boleh membaca apa sahaja bahan bacaan dalam Bahasa Malaysia. Bila dah boleh baca, kita akan buat majlis meraikan kejayaan mereka. Dapat sijil dapat hadiah. Seronok kan!

Yuran pendaftaran cuma RM50. Dibayar sekali sahaja. Manakala yuran buku, termasuklah buku bacaan, buku latihan dan sebagainya adalah RM90 sahaja. Juga dibayar sekali sahaja.

Yuran bulanan untuk 12 kali kelas dalam sebulan, 45 minit setiap kali, adalah RM135 sahaja. Kalau kalian patuh panduan yang diberi, 4 bulan sahaja sudah cukup, InsyaAllah.

Lokasi kelas adalah di No 12 Jalan Lampam 17 Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang Johor. Tak susah nak cari, guna waze sahaja pasti jumpa.

Buat pendaftaran secara online di
bit.ly/daftarwhiztots
bit.ly/daftarwhiztots
bit.ly/daftarwhiztots

Boleh juga Whatsapps

Azleen 0173329298
Wasap.my/+60173329298/daftarwhiztots

Atau

Aini 0173891909
Wasap.my/+60173891909/daftarwhiztots

#whiztots

Buat Kerja Rumah Mengikut Usia

Dari ruang santai, Azmina nampak saya makan roti bersapu mentega dan jem strawberi. Terus dia berlari ke meja makan dan memberitahu, “Mommy, Angah lapar lagi. Nak roti.”

Saya suakan roti saya. Azmina menggeleng. “Nak Angah punya.”

Saya buka plastik roti mahu mengambil roti baru untuknya. Azmina pegang tangan saya dan berkata, “Mommy, Angah buat ya.”

Kalau ikutkan dalam hati ini, biarlah mommy sahaja yang buat. Selain daripada cepat, juga tidak berkecah atas meja ini.

Mujurlah ada akal untuk berfikir kebaikan jangka panjang. “OK, pergi ambil pinggan dan pisau.”

Laju Azmina membuka laci mengambil pisau menyapu mentega dan mengambil pinggan di rak.

Memang kebanyakan barang di rumah ini disusun supaya mana-mana untuk anak itu boleh diakses sendiri oleh mereka.

Tapi saya juga teringat rumah kawan saya yang sangat mesra kanak-kanak. Rumahnya dibina seperti separuh daripadanya adalah khusus untuk anak-anak.

Sampaikan tandasnya pun ada dua versi. Versi yang sesuai untuk anak, dengan sinkinya yang lebih rendah, suis lampunya boleh dicapai. Paip air dan shower juga pada paras yang boleh diakses anak kecil.

Anak berusia dua ke tiga tahun pun sudah boleh menggunakan tandas itu sendiri jika dilatih keselamatan di dalam tandas. Memang menarik.

Anak-anak kecil banyak belajar melalui melihat. Melihat apa yang kita lakukan, lalu cuba meniru apa yang kita buat.

Meniru adalah cara belajar yang paling mudah dan semulajadi. Tapi bila masuk ke sekolah, kalau ditangkap meniru semasa peperiksaan berat hukumannya.

Anak-anak suka meniru gaya orang dewasa. Sebab itu antara permainan kegemaran ramai tidak kira lelaki atau perempuan adalah bermain masak-masak. Pengaruh ibu yang kuat dalam mendidik dan membesarkan anak barangkali.

Sebenarnya boleh sahaja kita melatih anak membuat kerja-kerja sendiri mengikut kesesuaian umurnya.

Anak satu tahun sudah boleh dilatih memasukkan baju kotornya ke dalam bakul. Juga membuang lampin kotornya ke dalam tong sampah. Atau memasukkan mainannya ke dalam kotak mainan.

Anak usia dua tahun sudah boleh dilatih mengambil sendiri peralatan makannya. Mengutip makanan yang jatuh ke lantai selepas makan.

Anak usia tiga tahun sudah boleh dilatih membantu menyediakan alatan untuk makan. Menyusun pinggan dan cawan. Mengemas baju-baju yang sudah dilipat ke dalam almari bajunya.

Begitulah untuk peringkat usia seterusnya. Ada kerja-kerja rumah yang sudah boleh dilatih anak untuk buat bersama-sama.

Melatih anak bermakna kita perlu buat bersama-sama dengan anak. Dilatih secara arahan terus. Anak melihat kita membuatnya dan dia meniru.

“Begini kemas mainan. Letak mainan ini ke dalam bakul. Jom buat sama-sama.” Ha, begitulah.

Bukan dengan menyuruh secara verbalnya sahaja.

“Kemas mainan itu. Pergi buat sekarang.” Sedangkan mak sedang memasak di dapur.

Termangu-mangu anak memikirkan bagaimana mahu kemas mainan. Maka dia akan mengemas mengikut versi dia.

Jika itu yang berlaku, usah marah dulu. Fikir apakah silap memberi arahan. Yang selalu berlaku adalah bukan anak tidak faham arahan, kita yang mengarah memberi arahan yang tidak jelas. Lalu anak tafsirkan mengikut pemahamannya.

Begitulah.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Sapu sendiri mentega dan coklat. Mommy bukakan botol sahaja.

Sudah pandai lipat selepas 2, 3, 4, 10 kali atau lebih mommy tunjukkan.

Sedapnya roti yang dibuat sendiri.

Cara Bimbing Anak Membaca

Anak kecil hendaklah dibimbing sewaktu membaca. Duduk sebelah sewaktu dia membaca.

Walaupun sudah tamat Buku 8 beberapa bulan yang lalu, dan sekarang sudah hampir tamat Read Easy Beginner Level, saya masih lagi menemani Afiah membaca.

Kadang-kadang dia jumpa perkataan yang panjang dan tidak pernah ditemui. Lantas boleh menjadi salah sebutan ataupun salah fahaman.

Sambil membaca, boleh beri kefahaman. Juga bersoal-jawab bagi meningkatkan kemahiran berfikirnya.

Anak yang sedang belajar membaca, lagilah perlu ditemani.

Usah biar anak membaca sedangkan ibu memasak di dapur. Walaupun bacanya sekuat hati dan ibu dapat dengar di dapur, mana yang tahu betul ke tidak dia membaca atau dia bercerita. Hihi.

Ini kisah benar. Pernah ibu bertelagah dengan saya kerana tidak puas hati anaknya masuk ke pemulihan. Dia bertegas yang anaknya boleh membaca surat khabar.

Saya pelik kerana anaknya tulis nama sendiri pun tidak tahu. Lagi bagaimana boleh membaca.

Jadi saya tanyakan bagaimana sang ibu tahu anaknya boleh membaca. Dia kata setiap hari sewaktu dia memasak di dapur, dia akan menyuruh anaknya membaca suratkhabar di ruang tamu.

Lancar sahaja katanya. Berita orang eksiden, berita orang pukul orang, berita sukan. Semuanya anak dia baca.

Namun, dia tidak pernah duduk sebelah anak melihat anaknya membaca.

Jadi, terus sahaja saya panggil anaknya dan berikan buku paling mudah minta anaknya baca di hadapan ibu.

Barulah, “Oh ya ke cikgu?”

Anak-anak yang tidak boleh membaca bukan beerti IQnya rendah. Banyak sahaja anak yang tidak boleh membaca tetapi boleh bercerita menghuraikan idea lagak Perdana Menteri.

Dalam suratkhabar ada banyak gambar. Dalam buku cerita lagilah banyak gambar. Dapat?

Sesekali, duduklah sebelah anak mendengar dia membaca. Baru tahu benar ke tidak.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Berlatih Ragam Zapin

Hari itu bila Afiah nampak Cikgu Masturah A. Latib buat live video Safiyyah berlatih zapin, dia tidak puas hati kenapa mommy tidak pernah upload video dia menari.

Mommy kata ada, tapi kata dia itu ramai-ramai. Dia nak video dia seorang sahaja.

Macam-macamlah hai anak.

Ini mommy upload video Afiah berlatih ragam dalam zapin.

Asalnya mommy demo pada semua anak-anak. (I do)

Kemudian kami buat bersama-sama. (We do)

Kemudian, anak-anak sahaja buat. (You do).

Akhir sekali, mommy pecahkan kepada kumpulan yang diketuai oleh penari-penari senior dan minta mereka berlatih sendiri.

Dengan cara ini, mommy dapat berehat. Hahaha.

Eh, taklah begitu.

Dengan cara ini,

1. Kajian menunjukkan yang anak-anak lebih mudah belajar dengan meniru rakan sebaya.

2. Penari-penari senior dapat dipupuk bakat kepimpinannya.

Nah, menari bukan sekadar suka-suka lewa dan khayal mendengar muzik. Digunakan dengan betul ia banyak kebaikan.

Menari dan muzik hanyalah satu alat. Terpulang kepada kita untuk menggunakannya.

Begitulah.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Azmina Buat Rantaian Bunyi Buku 8

Setiap kali dalam kelas buat aktiviti apa pun, Angah mesti nak buat juga.

Kadang-kadang serba salah juga kerana Angah baru tiga tahun. Saya mahu dia main, main dan main.

Tapi dia memang suka main, main dan main. Kemudian suka juga baca buku, baca kad, main dam dan segala apa aktiviti jugalah. Pada dia itu semua bermain juga barangkali.

Kalau tidak diberi dia akan mengamuk dan menangis sepertimana kebiasaan anak yang tidak dapat gula-gula atau mainan atau handphone.

Tapi kalau tidak dapat gula-gula, mainan atau handphone tidak pula dia mengamuk sebegini.

Pening mommy fonik.

Hari ni sibuk nak buat rantaian bunyi buku 8 ni. Haishh! Habis kelas layankan sahaja kejap.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Aroithai Tunamaya Spa & Resort Desaru

Hari itu suami ada “away day” dengan koperasinya di Bandar Penawar. Saya dan anak-anakpun mengikutlah sama ke Amansari Hotel di Bandar Penawar itu.

Selesai suami ber”away day” sebelum pulang ke Pasir Gudang, saya ajak suami mencuba Aroithai di Tunamaya Spa & Resort Desaru.

Selalu dengar adik sahaja beriya-iya mempromosikan tempat makan ini. Katanya best, best, best. Jadi nak rasa juga apa yang bestnya.

Depan restorannya ada sebuah bas mini lama yang diubahsuai menjadi papan tanda restoran. Cantik dan boleh ambil-ambil gambar gitu.

Di bahagian hadapan restoran ada ruangan beranda yang luas, di bawah pohon-pohon kayu yang rimbun. Ada meja-meja makan di sini. Ramai orang memilih untuk makan di luar ini kerana boleh merasai suasana damai macam kat kampung sambil ditiup angin-angin laut sepoi-sepoi bahasa.

Tapi memandangkan saya datang dengan anak kecil dan jam sudah menghampiri 6 petang, kami memilih untuk makan di dalam restoran. Ada aircond sepoi-sepoi bahasa juga. Hihi.

Pilihan makanan di sini ringkas sahaja, tidaklah sampai rasa pening nak memilih. Boleh rujuk gambar menu. Bagi setiap jenis makanan ada 5-6 pilihan sahaja.

Cara membuat pesanan adalah self-service. Tulis atas kertas berapa banyak yang kita nak, kemudian panggil pelayannya datang ambil pesanan.

Setiap makanan diisi dalam mangkuk-mangkuk kecil yang berharga cuma RM1.90 sahaja. Pilihan minuman juga dalam cawan-cawan kecil tetapi berharga RM3.90 setiap satu.

Saya pilih beberapa jenis makanan yang saya jangkakan kami akan suka dan kongsi sahaja makan satu keluarga.

Kebanyakan makanan thai adalah pedas-pedas, jadi kalau anak yang tidak makan pedas itu kurang sesuai makan di sini.

Kepak ayam goreng thai menjadi kesukaan saya manakala suami dan anak-anak suka makan beef glass noodle soup. Inilah dua makanan yang kami tambah pesan.

Ada juga nasi telur dadar stail thai. Yang ini pun sedap juga. Nasi putih, sedikit telur dadar dan dituangkan sos thai yang manis-manis pedas tu. Senang sahaja boleh cuba buat di rumah. Hihi.

Untuk minuman kami mencuba jus kelapa, jus buah markisa dan jus serai. Semuanya sedap-sedap belaka.

Kasihan Isyraq kerana tiada pilihan makanan untuknya. Jadi kami pun tidak duduk lama-lama di sini.

Rancangan televisyen menayangkan filem-filem Thai dan radio juga memainkan lagu-lagu Thai.

Pekerjanya pula bukan orang tempatan tetapi bukan orang Thai. Kurang faham cakap Inggeris apatah lagi bahasa Melayu. Bengang juga apabila lain yang diminta lain yang sampai. Dan juga kena mengulang cakap beberapa kali.

Gaya makan di sini ala-ala hipster agaknya. Ramai orang muda-muda yang makan sampai bertingket-tingket mangkuknya.

Nampak murah RM1.90 tapi kalau dah 10 mangkuk, jadi RM19.00 juga. Maka murah bukanlah satu sebab untuk makan di sini.

Bagaimanapun jika nak menikmati makanan thai dan bertukar selera sedikit bolehlah mencubanya. Walaupun saya tidaklah tahu sejauhmana benarnya rasa Thainya kerana saya belum pernah sampai ke Thailand.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Menyusun Puzzle Membina Kreativiti

Hari itu kami buat puzzle dinosaur. Buat sendiri jer. Cepat, mudah dan murah.

Nah, itu tema bbm cikgumommy.

“Cepat, mudah dan murah!”

Seronok tengok anak-anak ini susun puzzle yang empat keping cuma itu. Macam-macam hasilnya.

Bermain puzzle ini nampak macam biasa-biasa sahaja kan.

Tapi ia memberi kesan kepada perkembangan otak anak.

Menyusun dan bermain puzzle mencabar ketangkasan, penaakulan spatial dan logik anak. Otak kiri dan kanan perlu bekerja pada masa yang sama.

Bahagian kreatif otak perlu bekerja membayangkan puzzle yang telah siap (hasil akhir) manakala bahagian logik otak perlu memadankan kepingan-kepingan puzzle yang betul dan sempurna.

Bermain puzzle adalah langkah awal dalam membentuk pemikiran anak yang kreatif dan kritis.

Langkah-langkah aktiviti seperti berikut:

1. Cari gambar dianosaur yang comel kat google. Download dan print saiz A4.

2. Gunakan pembaris untuk bahagi 4 dinosaur tu.

3. Ajak anak-anak mewarnakan dinosaur itu ikut kreativiti masing-masing.

4. Potong ikut garisan empat tadi.

5. Tampal semula pada kertas lukisan.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Tanda Awal Rabun Dan Silau

Hari ini saya lihat Phonicsmarty A mendekatkan lagi mukanya ke buku di atas meja. Sudah macam nak masuk ke dalam buku sahaja lagaknya.

Sesekali dia menggosok-gosok matanya yang ternyata tidak gatal. Dia memandang saya dengan ekspresi muka meminta cikgu mengesahkan bacaannya.

Saya senyum. Saya letak tangan di atas buku yang sedang Phonicsmarty A baca.

“A, cuba awak duduk tegak-tegak macam cikgu.”

Phonicsmarty A akur dan duduk tegak.

“Sekarang awak tengok sini,” jari saya menunjuk ke bunyi /d/ pada buku, “awak nampak ini?”

“Nampak.”

“Apa yang awak nampak?”

“Bunyi /d/“

“Terang?”

“Terang sikit sahaja”.

Saya terus mencapai handphone dan menghantar whatsapps pada ibunya. Memaklumkan perihal anaknya dan meminta ibunya membawa Phonicsmarty A menjalani pemeriksaan mata dengan segera.

Rabun atau silau adalah salah satu punca utama yang selalu menjadi gangguan kepada anak untuk belajar.

Seringkali terjadi anak tiadapun masalah kognitif tetapi gagal dalam peperiksaan kerana rabun dan silau.

Penglihatan berkait rapat dengan pendengaran.

Bayangkan jika anak gagal melihat dengan jelas wajah guru dihadapan kelas, gagal melihat pergerakan bibir mahupun memek muka guru, hampir secara automatik juga dia akan kurang memahami apa yang disampaikan oleh guru.

Jadi sentiasalah peka jika anak mempunyai masalah rabun atau silau.

Antara tanda-tanda awal anak ada masalah penglihatan adalah:

1. Mengecilkan matanya ( cuba fokus) apabila melihat sesuatu yang jauh.

2. Mendekatkan muka ke buku apabila membaca buku.

3. Sering menggosok-gosok mata apabila melihat atau membaca buku seolah-olah sedang cuba membersihkan matanya

4. Kerap mengadu sakit kepala

Jika anak ada tanda-tanda tersebut, bawalah anak menjalani pemeriksaan mata dengan segera.

Walaupun ada banyak kedai optometri yang menawarkan pemeriksaan mata percuma, saya cadangkan untuk anak yang berusia bawah 12 tahun menjalani pemeriksaan mata di hospital.

Pergi ke mana-mana pusat kesihatan dan minta rujukan untuk ke hospital.

Doktor pakar mata akan membuat pemeriksaan yang terperinci dan memberi cadangan yang sesuai untuk mengatasi masalah mata anak.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy