skip to Main Content

Ajarlah Anak Mengikut Fitrah

Beberapa minggu ini, saya dihujani panggilan telefon dan whatsapps dari ibu bapa.

Semuanya ibu bapa baru yang nak hantar anak ke Whiztots. Gara-gara sudah hampir setahun anak ke tadika (minimum) tapi masih belum boleh membaca.

Ada yang sudah bertahun-tahun hantar anak ke tadika, mula dari usia 4 tahun. Tapi tiada progress atau progress terlalu sedikit.

Apabila saya berbual-bual dengan ibu bapa ini, antara perkara yang wajib saya tanya adalah:

1 – Adakah ibu bapa sudah suarakan kebimbangan ini kepada pihak pengurusan tadika, atau sekurang-kurangnya kepada guru yang mengajar anak;

2 – Apakah jawapan dari pihak pengurusan tadika, atau sekurang-kurangnya apa respon guru yang mengajar anak;

3 – Adakah ibu bapa tahu bagaimana guru tadika mengajar anak membaca. Kaedah apakah yang digunakan.

Majoriti (tidak semua, tetapi 4 daripada 5 ibu bapa) memberi jawapan berikut:

  1. Ya.
  2. Begitulah. Begitulah respon dari pihak pengurusan ataupun dari guru. Tidak ada jawapan spesifik mengapa anak masih belum boleh membaca. Tidak ada cadangan atau saranan bagaimana ibu bapa boleh membantu anak selain daripada “LATIH TUBI”.

Bahkan, 4 daripada 5 meletakkan punca kepada kelemahan anak yang tidak boleh fokus dalam kelas, tidak mahu duduk diam di kerusi, tidak mahu mendengar cakap guru dan juga suka keluar dari kelas setiap 15 ke 30 minit.

Tetapi masih juga tiada saranan atau cadangan bagaimana mengatasi isu tersebut.

  1. 4 daripada 5 ibu bapa tidak tahu kaedah digunakan. Ada yang tahu buku yang digunakan. Tetapi tidak pasti bagaimana ia diajar.

Dan banyak juga yang gunakan buku Bacalah Anakku. OMG!

Kawan-kawan,

Jika kalian juga ada anak yang sedang sekolah tadika, dan anak bakal masuk ke Tahun 1 pada tahun 2020. Dan sehingga ke saat ini, anak kalian masih juga belum boleh membaca.

Bertenang!. Tarik nafas panjang-panjang. Pandanglah anak dengan penuh kasih sayang. Sepertimana saat pertama kalinya kalian melihat dia selepas melahirkan.

Huhu.

Ketahuilah tidak ada anak yang tidak mahu membaca. Tidak ada anak yang malas belajar. Tidak ada anak yang terlalu degil sehingga tidak mahu membuka buku, atau tidak mendengar cakap cikgu atau duduk diam membatu di kerusi.

Yang ada hanyalah anak yang tidak memahami kenapa dia perlu duduk di kerusi. Sedangkan otaknya menyuruh dia melompat berlari.

Yang ada adalah anak yang tidak mahu melihat buku kerana dia tidak memahami apa yang dilihatnya. Siapalah yang suka melihat sesuatu yang tidak difahami?

Dulu di kelas pemulihan saya tampalkan kata-kata ini,

“Jika anak tidak boleh belajar dengan cara kita mengajar, ajarlah anak dengan cara yang dia boleh belajar.”

Fitrah anak suka bermain. Ajarlah dia dengan cara bermain.

Fitrah anak suka menyanyi. Ajarlah dia dengan cara menyanyi.

Fitrah anak suka dimanja. Ajarlah dia dengan penuh kasih sayang.

Pasti tak rugi. Anak adalah pelaburan yang menguntungkan.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *